KUALA LUMPUR 27 April – Cadangan Ahli Jawatankuasa DAP negeri, Nga Hock Cheh supaya kerajaan menggugurkan status kaum dalam kad pengenalan disifatkan sebagai berniat jahat.
Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim , Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, cadangan Hock Cheh itu tidak bertanggungjawab dan kurang peka terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak boleh dijadikan alasan bahawa beliau bukannya daripada latar belakang ahli politik dan menganggap kata-katanya telah disalah tafsir.
“Hock Cheh merupakan seorang peguam, maka cadangan pengguguran agama di kad pengenalan adalah berniat jahat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Hock Cheh dalam sidang Dewan Negara berkata, sebab-sebab yang menghalang perpaduan di negara ini berlaku apabila setiap individu diberikan identiti mengikut kaum, bukan identiti nasional.
“Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum. Dia tidak diberikan identiti nasional.
“Lagipun perkataan yang memecahbelahkan rakyat, kita mesti berhenti menggunakannya, pendatang lagi dan yang lebih kasar pun ada. Itu tidak bagus untuk perpaduan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











