KUALA LUMPUR 27 April – Seorang pemandu Grab ditahan selepas tidak bekerjasama ketika pemeriksaan dilakukan terhadapnya kerana memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba di Jalan Changkat Raja Chulan, di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 12.50 malam itu turut menyebabkan seorang anggota wanita yang melakukan rondaan bermotosikal di kawasan tersebut cedera.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, pada mulanya, sepasukan anggota polis menaiki motosikal keluar bertugas di kawasan itu sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu lelaki berusia 40-an terbabit berhenti mengejut di lokasi berkenaan.
Ujarnya, sebaik sahaja MPV itu berhenti, penumpang yang duduk di bahagian belakang telah membuka pintu untuk turun menyebabkan seorang anggota polis wanita menunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu kenderaan tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, anggota polis wanita berkenaan terjatuh dan cedera di bahagian tangan.
“Pemandu itu kemudian keluar dari kenderaannya lalu menjerit ke arah penumpang terbabit dan memintanya membayar ganti rugi kerosakan MPV miliknya serta motosikal selain kos kecederaan dialami anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rudy memberitahu, lelaki itu bagaimanapun menafikan kesalahannya berhenti secara mengejut dan tidak memberi isyarat sebelum menurunkan penumpang.
“Malah, pemandu itu tidak memberi kerjasama ketika anggota polis meminta kad pengenalannya untuk pemeriksaan sebelum terus berjalan menuju ke kenderaannya untuk beredar.
“Pemandu Grab tersebut bagaimanapun berjaya ditahan pihak polis dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian,” jelasnya.
Tambah Rudy, permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas.
“Anggota polis wanita yang patah jari tangan kanan dalam kejadian itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











