KUALA LUMPUR 27 April – Fiesta Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yang dijangka berakhir esok bakal menyaksikan pelbagai program menarik untuk masyarakat setempat dan para usahawan.
MED dalam kenyataan berkata, pertukaran memorandum kerjasama (MoC) antara Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan dilaksanakan pada majlis penutup, esok.
“Majlis penutup Fiesta MED akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob kira-kira pukul 10 pagi.
“Majlis tersebut akan dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari,” katanya di sini hari ini.
Dalam kenyataan sama, MED berkata, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya program bersama komuniti iaitu jamuan bersama 2,000 tetamu.
“Program ini akan diadakan di Masjid Luqman Ul Haqim di Sungai Petani, Alo Gajah, Melaka dengan kerjasama Global Ikhwan Sbd. Bhd. Holdings (GISBH).
“Menariknya, GISBH akan turut menganjurkan jualan ikan murah rakyat di lokasi Fiesta MED,” katanya di sini hari ini.
Fiesta MED yang diadakan selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Kumpulan Utusan melalui anak syarikatnya, Media House Entertainment (MHE) turut bekerjasama dalam program tersebut. – UTUSAN ONLINE











