Kecewa Syed Saddiq pentingkan nilai komersial
 - Utusan Malaysia

Kecewa Syed Saddiq pentingkan nilai komersial


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 April – Alasan berkaitan nilai komersial yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam cadangan membawa masuk artis K-Pop, Kumpulan BTS bagi membuat persembahan di negara ini mengecewakan pelbagai pihak.

Ini termasuk Pertubuhan Keilmuan Nasional yang menganggap kenyataan Syed Saddiq itu sebagai tidak wajar kerana fokus utama pemimpin itu sewajarnya diberikan kepada pembangunan sahsiah belia di negara ini dan bukannya merosakkan dengan budaya hedonisme yang dibawa artis luar negara.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Keilmuan Nasional, Mohd. Faizal Zulkifly berkata, kenyataan Syed Saddiq itu juga dilihat sebagai satu pengabaian tugas hakiki kerana urusan kemasukan pelancong yang menjana keuntungan adalah dibawah tugas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai menteri bertanggungjawab terhadap pembangunan belia dan sukan di negara ini, Syed Saddiq tidak wajar memgutamakan nilai komersial mengatasi nilai sosial kerana fokus utama beliau adalah membangunkan sahsiah belia Malaysia dan bukan merosakkannya dengan budaya hedonisme yang di bawa artis luar negara.

“Beliau juga tidak harus campur tangan dalam pengurusan perniagaan Perbadanan Stadium Nasional kerana beliau sendiri mendakwa tidak mahu meletakkan orang politik dalam badan berkenaan untuk mengelak campur tangan politik yang menyebabkan kerugian badan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar menjelaskan, cadangan membawa masuk kumpulan BTS untuk membuat persembahan adalah bagi memastikan Malaysia dapat menjadi destinasi utama dalam penganjuran acara peringkat antarabangsa termasuk konsert yang dapat menarik kehadiran puluhan ribu pelancong asing ke negara ini.

Jelas Syed Saddiq lagi, Malaysia juga mempunyai fasiliti antara terbaik di Asia dan perlu dimanfaatkan bagi menjana pendapatan yang boleh mencapai puluhan juta ringgit.

Sementara itu, tambah Mohd. Faizal, dalam keadaan negara yang masih belum stabil sepenuhnya, Syed Saddiq perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada isu-isu penting melibatkan belia seperti peluang pekerjaan, penagihan dadah serta isu berkaitan sukan seperti kebajikan atlet.

“Syed Saddiq tidak harus mengabaikan pembangunan sahsiah belia di negara ini yang dilihat semakin meruncing dengan pelbagai masalah sosial melanda hanya semata-mata kerana memikirkan nilai komersial. Kemasukan artis luar negara ke Malaysia bukan sahaja membawa nilai sosial yang negatif, malah tidak membina intelektual belia di negara ini.

“Pertubuhan Keilmuan Nasional berharap agar Syed Saddiq meletakkan keutamaan tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan di hadapan dan menyerahkan kepada menteri yang berkenaan dalam soal nilai komersial dan sebagainya. Syed Saddiq mesti fokus terhadap isu-isu utama yang melanda belia dan sukan di negara ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini