Berjaya hafal 30 juzuk al-Quran dalam tiga bulan - Utusan Malaysia

Berjaya hafal 30 juzuk al-Quran dalam tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 April – Menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa tiga bulan bunyinya agak mustahil, namun bagi 25 peserta Program Tahfiz Integrasi An-Nur 2.0 telah membuktikan sebaliknya apabila berjaya mengingati keseluruhan ayat-ayat suci dalam tempoh singkat.

Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang peserta, Muhammad Aizad Abdul Manan, 18, apabila dia telah menghafal 25 muka surat al-Quran dalam sehari di samping mengingati setiap terjemahan ayat yang diingatinya sehingga kini bergelar Huffaz al-Quran.

Menurut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping itu, setiap peserta program berkenaan diberikan tempoh antara 10 hingga 13 jam setiap hari untuk menghafal al-Quran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan sekadar itu sahaja, kami perlu memahami setiap ayat dibaca serta penceritaan menerusi kisah-kisah dalam kitab suci ini,” katanya selepas ditemui selepas Majlis Konvokensyen Program Tahfiz Integrasi An-Nur 2.0 di sini hari ini.

Bagi seorang lagi peserta, Nur Adni Adlina Muhammad, 18, pula memberitahu dia mengakui tidak mempunyai asas-asas pengetahuan membaca al-Quran kerana bukan daripada pendidikan agama pada sebelum ini.

“Saya sebenarnya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa Kelantan, malah ketika SPM saya ambil aliran perakaunan.

“Sebelum sertai program ini, saya bermula daripada kosong, Alhamdulillah saya akhirnya berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Dalam masa sama, Pengasas Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Dr. Mohd. Hizul Azri berkata, pihaknya menganjurkan Program Tahfiz Integrasi An-Nur untuk melahirkan huffaz al-Quran dengan melibatkan para pelajar dalam kalangan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerusi teknik hafalan An-Nur.

Katanya, inisiatif seumpama itu adalah kali pertama di Malaysia apabila setiap peserta perlu menghafal al-Quran dalam tempoh tiga bulan dengan berpandukan tiga kaedah ditetapkan pihaknya.

“Yang pertama mereka kena fokus termasuk tidak dibenarkan menyimpan telefon sepanjang program. Keduanya, mereka hendak memahami makna setiap ayat dibaca dan ketiga pula iaitu tadabur atau mengetahui kandungan serta penceritaan ayat-ayat suci.

“Alhamdulillah, program yang telah memasuki edisi kedua pada tahun ini telah berjaya melahirkan 25 penghafal al-Quran daripada 46 peserta yang diterima masuk,” katanya.

Menurut beliau lagi, Program Tahfiz Integrasi An-Nur yang bertempat di Pusat Tahfiz Integrasi An-Nur di Manjung, Perak bukan sahaja ingin melahirkan huffaz al-Quran, sebaliknya pihaknya juga menerapkan bidang profesional lain seperti keusahawanan, kemahiran sosial dan kepimpinan.

“Kita tidak mahu mereka hanya sekadar hafal al-Quran sahaja untuk menjadi ustaz atau guru agama, tetapi ingin menjadikan sebagai ‘Huffaz Profesional’ iaitu menjadi seorang doktor atau saintis pada satu hari nanti. Malah terdapat bekas peserta kami telah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan perakauan di luar negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini