KUBANG PASU 27 April – Kejayaan kerjasama penyatuan Ummah yang dijalin antara Pas dan UMNO adalah menerusi tiga titik pertemuan iaitu apabila Islam dan bangsa Melayu dihina dan keistimewaan raja-raja Melayu digugat.
Penceramah, Ahmad Husam Baderudin berkata, ketiga-tiga perkara itu telah menyebabkan bukan sahaja rakyat bangkit menentang Pakatan Harapan (PH) tetapi juga menyebabkan kedua-dua parti yang selama ini bermusuh selama berpuluh tahun, menjalin kerjasama.
Kata beliau, di samping itu, rakyat juga semakin sedar terhadap pembohongan dan fitnah yang dilemparkan PH terhadap Barisan Nasional (BN) selama ini yang kini telah memakan diri.
“Kesan fitnah ini amat dahsyat sehingga telah menyebabkan berlaku satu insiden seorang budak muda meludah seluar Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana diceritakan kepada saya oleh pegawai bekas Perdana Menteri ini.
“Malah saya sendiri termakan hasutan dan fitnah sehingga percayakan gambar Datuk Seri Najib bersama Altantuya (Shaariibuu, dalam kes pembunuhan model Mongolia itu) yang akhirnya kini terbongkar bahawa gambar itu telah diubah suai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa ceramah Penyatuan Ummah di Kampung Hutan Palas, Kodiang di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Najib dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Menurut Ahmad Husam, kejatuhan Barisan Nasional (BN) diibaratkan sebagai ‘nasi sudah menjadi bubur’ tetapi masih belum terlambat untuk rakyat negara ini bangkit mengubah situasi itu.
Katanya, beliau bersyukur kerana sedikit sebanyak telah berjaya memulakan permohonan maaf kepada bekas Perdana Menteri itu sekali gus menggerakkan orang ramai untuk berbuat perkara sama kerana percaya terhadap fitnah dilemparkan PH.
“Di mana-mana sahaja, Datuk Seri Najib pergi, orang ramai bukan sahaja mengambil peluang bergambar tetapi juga memohon maaf.
“Inilah kuasa Allah SWT, iaitu bukan sahaja kebenaran kini muncul tetapi kejatuhan Datuk Seri Najib, telah meletakkan beliau di dalam hati seluruh rakyat,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











