JOHOR BAHRU 27 April – Dewan Muda Johor (DMJ) menggesa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya kembali kepada keutamaan serta tanggungjawab beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan atau melepaskan jawatan itu jika tidak lagi mampu menguruskan sukan negara.
Ahli Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Keagamaan DMJ, Mohamad Isamuddin Mohamad Isa berkata, gesaan itu dibuat kerana Syed Saddiq dilihat sibuk mempertahankan tindakannya untuk membawa artis popular dari Korea Selatan, BTS ke Malaysia pada 2020.
Beliau menegaskan, DMJ sentiasa mengalukan kedatangan mana-mana artis ke negara ini termasuk BTS, malah menghormati peminat kumpulan itu BTS A.R.M.Y, mengambil kira faktor pulangan ekonomi serta perkongsian budaya yang bakal diterima Malaysia.
“Namun apa yang DMJ persoalkan adalah keutamaan Syed Saddiq terhadap tanggungjawab sebenar beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan, tapi jika merasakan dirinya tidak mampu urus sukan negara dengan baik, letak jawatan sajalah.
“Atau boleh memohon kepada Perdana Menteri untuk melantik beliau sebagai Menteri Pelancongan, maka dengan itu dapatlah Syed Saddiq mengatur lebih banyak kedatangan artis luar negara dan membawa pulangan yang lumayan untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Isamuddin, pada minggu ini terdapat dua kejohanan utama sukan peringkat Asia yang melibatkan pernyertaan negara iaitu
Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar dan Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China.
Namun, katanya, apa yang mendukacitakan DMJ adalah pasukan Malaysia gagal untuk membawa pulang sebarang pingat dalam kedua-dua kejohanan tersebut.
Jika Menteri Belia dan Sukan masih mengambil sikap tidak tahu, katanya, DMJ khuatir prestasi hambar sukan negara akan berterusan menjelang Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada tahun 2020. – UTUSAN ONLINE











