Anggota polis cedera gagal elak kereta berhenti mengejut - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera gagal elak kereta berhenti mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis wanita cedera apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar pintu sebuah kenderaan yang berhenti secara mengejut ketika menurunkan penumpang di Jalan Changkat Raja Chulan, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah malam sewaktu sepasukan anggota polis bermotosikal keluar untuk menjalankan operasi pusat hiburan di kawasan Changkat, Bukit Bintang.

“Ketika melalui lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang menjalankan perkhidmatan Grab telah berhenti secara mengejut sebelum seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang membuka pintu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Salah seorang anggota polis wanita yang tidak sempat mengelak telah melanggar pintu belakang bahagian kiri Perodua Alza yang dibuka itu mengakibatkan anggota berkenaan terjatuh ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan patah jari tengah di tangan kanannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Rudy, pemandu Perodua Alza berkenaan, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an kemudiannya keluar dari kenderaan dipandunya lalu menjerit-jerit terhadap penumpangnya dan menyuruh penumpang tersebut membayar ganti rugi kereta, kerosakan motosikal dan juga 
kecederaan yang dialami anggota polis tersebut.

“Lelaki berkenaan bagaimanapun menafikan kesalahannya kerana berhenti secara mengejut serta tidak memberi isyarat sebelum menurunkan penumpang. 

“Polis cuba menenangkan keadaan dan pemandu terbabit diarah untuk menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan rekod, namun dia enggan bekerjasama yang membawa kepada penahanannya,” jelas beliau.

Tambah beliau, anggota polis wanita yang cedera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini