Orang Asli ditawar masuk ILP secara percuma - Kula Segaran - Utusan Malaysia

Orang Asli ditawar masuk ILP secara percuma – Kula Segaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan masyarakat Orang Asli ditawarkan menyambung pengajian ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) secara percuma.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran sebagai antara usaha untuk menggalakkan lebih ramai belia Orang Asli lepasan SPM mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran seterusnya memperoleh peluang pekerjaan.

Katanya ketika ini, bayaran memasuki ILP bagi pengajian peringkat sijil adalah RM700 merangkumi yuran pengajian di samping kelengkapan lain seperti pakaian seragam dan kasut but.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang kita bagi kelonggaran hanya kepada Orang Asli, semua ini (bayaran RM700) akan dibiayai oleh kerajaan 100 peratus.

“Makan, minum percuma serta diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat program TVET untuk pelajar dan ibu bapa masyarakat Orang Asli di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, kira-kira 25 kilometer dari sini.
 
Selain itu, Kula Segaran berkata kementerian juga akan melonggarkan syarat kemasukan ke ILP bagi belia Orang Asli dengan mengecualikan keperluan lulus Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan satu subjek lain dalam SPM.

“Kita beri peluang besar kepada mereka, beri kelonggaran asalkan tahu baca dan menulis kita tawarkan kursus yang sesuai kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai galakan luar biasa kepada Orang Asli yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini