Khairy di pentas Pas, ucap tahniah pada PH satukan UMNO dan Pas
 - Utusan Malaysia

Khairy di pentas Pas, ucap tahniah pada PH satukan UMNO dan Pas


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG 27 April – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin secara sinis mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) kerana berjaya melahirkan kerjasama Pas dan UMNO.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, penyatuan Pas dan UMNO merupakan kejayaan terbesar PH sepajang setahun memerintah.

“Saya ucap tahniah kerana mereka (PH) berjaya melaksanakan suatu yang tidak pernah berlaku di Malaysia. Satu-satunya kejayaan luar biasa PH adalah melahirkan kerjasama UMNO dan Pas yang tidak pernah berlaku sepanjang 61 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“61 tahun, kita lawan, bersaing, bertanding antara Pas dan UMNO yang memerlukan ‘kuasa’ luar biasa untuk satukan Pas UMNO.

“Akhirnya ‘kuasa’ itu datang daripada kegagalan PH yang menyebabkan kedua-dua parti ini bersatu,” katanya ketika berucap dalam majlis Perpaduan Ummah di pejabat Pas kawasan Pendang di Kampung Gajah Mati di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Datuk Suraya Yaakob; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim.

Sementara itu, program penyatuan ummah yang dihadiri ribuan orang itu juga menarik perhatian apabila buat pertama kalinya Khairy berada di pentas Pas.

Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu adalah antara pemimpin yang berhati-hati dan seolah-olah tidak setuju dengan kerjasama kedua-dua parti itu.

Tanpa berselindung, Khairy dalam ucapan tersebut turut memaklumkan bahawa beliau adalah antara pemimpin UMNO yang paling berhati-hati apabila Pas dan UMNO ingin bekerjasama.

“Malam ini, cukup bersejarah apabila saya berucap di pentas Pas. Saya rasa ini pilihan terbaik (kerjasama UMNO Pas) untuk menentang PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan, beliau gembira apabila pengundi muda sudah mula menolak PH.

Orang ramai yang hadir pada majlis perpaduan ummah di pejabat Pas kawasan Pendang, di Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah malam tadi.

“Dulu, kita paling susah hendak dapat undi di saluran orang muda. Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, mereka (orang muda) kembali sokong Barisan Nasional (BN). Selepas ini, kalau Pas bertanding, orang muda ini, akan sokong Pas pula,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini