ALOR SETAR 27 April – Kedah mahu ‘melupakan’ seketika aksi dalam Liga Super bagi memberi tumpuan kepada perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang PKNS di tempat lawan, Selasa ini.
Dalam aksi Liga Super bertemu Selangor, semalam, Lang Merah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila hanya sekadar seri 1-1, sekali gus membantutkan perjalanan mereka untuk kembali merebut tangga ketiga liga.
Kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, dia mahu rakan sepasukannya berfikiran positif dan terus memandang ke hadapan serta mengikut perancangan yang ditetapkan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak bagi perlawanan seterusnya.
“Perlawanan malam ini (semalam) bukan rezeki kepada kami, apabila Selangor menjaringkan gol pendahuluan kami memang perlu menyamakan kedudukan untuk merapatkan jurang agar mendapat tiga mata penting.
“Memang sedikit kecewa tetapi apakan daya Selangor juga bermain dengan baik, maka kami terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata. Namun, apa yang penting ialah lupakan aksi itu dan kembali fokus untuk bertemu PKNS minggu depan,” katanya.
Malah, Baddrol yang menjaringkan gol penyamaan pada perlawanan itu percaya peluang mereka untuk mendaki tangga teratas Liga Super masih terbuka, selain berbangga dengan rekod tanpa kalah yang kekal di Stadium Darul Aman.
Sementara itu, Aidil Sharin berharap, pemain utamanya yang tidak beraksi menentang Selangor ekoran kecederaan dan pengantungan akan kembali memperkuat jentera ketika bertemu PKNS.
“Sudah tentu Shakir Hamzah akan kembali bermain dan saya juga berharap Zaquan Adha Abd. Razak kembali pulih menjelang aksi itu bagi membolehkan kami menurunkan kesebelasan yang terbaik.
“Harus ingat PKNS bukan pasukan mudah kerana persembahan mereka sentiasa meningkat dan mempunyai pertahanan yang kuat,” ujarnya.
Bagaimanapun, pengendali dari Singapura itu tidak mahu menjadikan alasan ketiadaan pemain-pemain tertentu sebagai faktor Kedah tidak mampu memperoleh kemenangan.
“Bola sepak adalah tentang 11 pemain, saya tidak boleh bagi alasan seperti Shakir digantung dan kami tidak bermain baik, itu tidak benar kerana kami beraksi baik dan statistik juga menunjukkan Kedah mendominasi permainan serta mencipta banyak peluang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











