GETAFE – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui pasukannya layak untuk meraih mata penuh berbanding berkongsi satu ketika seri tanpa jaringan menentang Getafe pada aksi La Liga awal pagi semalam.
Skuad kendalian Zidane itu mencipta beberapa peluang menarik pada aksi berkenaan, namun aksi di Coliseum Alfonso Perez itu tidak memberikan tuah buat mereka sekali gus menyebabkan mereka ke-tinggalan enam mata di belakang pencabar mereka, Atletico Madrid yang menghuni tangga kedua.
Getafe yang dibimbing Jose Bordales pula terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan dan hanya tewas sekali dalam 13 aksi La Liga untuk berada di kedudukan keempat.
“Kami bermain dengan baik dan layak untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. Kami berpeluang menjaringkan gol terutama pada separuh masa pertama. Saya gembira melihat cara Real bermain, fokus yang diberikan serta kesungguhan tetapi bukan dengan keputusan ini.
“Mungkin juga keputusan ini kerana kami bertemu Getafe, mereka berada di kedudukan keempat ketika ini. Mereka bermain de-ngan baik, memiliki 55 mata ketika saingan berbaki empat perlawanan sahaja lagi.
“Anda perlu mengucapkan tahniah kepa-da mereka dan berharap Getafe mampu menamatkan saingan di tempat yang sebaik mungkin,” kata Zidane.
Pada perlawanan itu juga, pemain muda Real, Brahim Diaz menunjukkan aksi cemerlang sehingga mendapat pujian daripada Zidane.
“Saya sangat gembira melihat perkembangannya. Dia adalah seorang pemain yang sentiasa mahukan tempat dalam kesebelasan utama dan tidak takut.
“Kelebihannya adalah memiliki kedua-dua belah kaki yang mampu berfungsi de-ngan baik serta pantas,” jelasnya. – Agensi











