“Aku jadi semakin senak di sanggar sendiri, Neknda.” Tuknda berhiba mencanang elergi di dalam hati. Sudah berdekad keturunannya mendiami lahan bertuah ini. pelbagai rencah kehidupan yang dilalui. Alhamdulillah segalanya mampu dirintis pejuang bangsa terdahulu. Membina empayar gah ke serata benua beriring darah dan air mata.
“Ini zaman mereka, anak-anak IT sudah punya gagasan sendiri, tidak mengapalah,” seperti selalunya Neknda memang sedia beralah. Sikap toleransi yang tinggi begitulah yang menjadi antara landasan kejayaan negara. Ia sanggup berkongsi kasih malah hak keturunan demi kedamaian dan integrasi seluruh penduduk lahan.
Namun tidak sesekali tega menyerahkan maruah dan menggadaikan akar bangsa. Dia tidak akan berkompromi jika soal-soal dasar maruah diinjak-injak. Dia tidak rela berputih mata, biarpun tulang bercerai semua!
Banyak yang telah berubah sekarang. Terkenang dia akan nikmat yang bukan datang secara sendiri. Kelihatan tubir mata Neknda yang lelah merembeskan air jernih. Kabur pupil mata mengiringi usia kian renta.
Segalanya serba baharu bagi Tuknda dan Neknda. Mereka sudah tidak betah mendepani zaman sekarang. Semuanya serba canggih konon. Sampai surat khabar pun tidak dapat lagi dibeli dengan mudah. Kedai buku dan jual majalah banyak yang sudah bungkus.
Mereka pun sudah hilang upaya untuk mengayuh gerek jauh-jauh macam dahulu. Tidak larat lagi hendak ke bandar yang jauhnya 5 batu dari rumah mereka. Hendak diharapkannya anak-anak, semua sudah hijrah ke bandar.
Tuknda runduk mengenangkan situasi kucar di hadapannya. Memang ini bukan lagi zaman mereka. Zaman yang bertukar secara total. Namun mereka juga tidak bisa berdiam diri melihatkan legasinya yang sedang hilang identiti.
Anak-anak pascamoden kini sudah lain benar perawakannya. Dengan orang tua sudah tidak lagi hormat dan jarang-jarang yang mahu dengar kata. Hitam kata kita, putih kata mereka. Ke sini diajak, ke sana mereka bergerak. Saling berkonfrontasi.
Tidak pernah pula mereka rasa putus asa menegakkan pendirian. Tuknda cuba juga bersuara sesekali ada perjumpaan ahli komuniti dalam kariahnya. Walaupun pendapat dan ideanya sudah tidak lagi diguna pakai, namun Tuknda tetap juga bersuara. Itu hak demokrasi, dia tidak boleh lepaskan walaupun akhirnya dia terpaksa akur dengan suara ramai yang menolak pandangannya perlahan-lahan.
Tuknda gugur jua air matanya. Tidak sampai hati dia membenarkan Neknda seorang yang berdendam sakit hati dan jiwa. Dia sendiri tidak pernah menduga ini akan jadinya generasi kita. Satu demi satu tradisi dinodai. Satu demi satu pula dicanang reformasi. Natijahnya banyak pula yang mereka tidak fahami.
2
Neknda dan Tuknda mendendangkan kembali tablo kesedihan yang merentangi arus perjuangan silam. Kanang dan Leftenan Adnan yang sanggup menggadai nyawa untuk kedaulatan negara demi sebuah kemerdekaan. Rela membenarkan tubuh disalai dan ditusuk benet Jepang sepanjang perjalanan.
Betapa terdahulu, Tuk Gajah, Abdul Rahman Limbong dan rakan seangkatan berpatah arang berkerat rotan. Melangir diri dengan darah perjuangan, meninggalkan keluarga untuk satu durasi masa yang tidak ketahuan. Hingga ada yang tercabut nyawa atau jadi warga pesona non grata. Demi ini jenggala milik datuk nenek kita!
Tuknda ingat lagi, sewaktu usai peperangan agung kedua, nasionalis negara bertungkus lumus membina semula bangsa. Suaka mandiri yang belum diperoleh ketika itu, mahu dijadikan nyata. Perjuangan yang tidak mengenal lelah dan usia.
Ingat lagi ia ketika zaman awal persekolahan, suatu pagi suara gemulah ayah mengejutkannya bangun membelah sunyi. Katanya hari ini Tuknda kena bangkit awal. Tiada impi lagi dalam kaca ada api dan air dalam besi. Semuanya hanya betul-betul tradisi. Guna jamung atau andang pada tangan ibu beriring mandi menuju perigi.
Di rona gelap ada berjujuk kerdipan jamung di sekitar desa. Tanda jiran tetangga juga turut mandi membugar tenaga. Gigil dan ketar yang menyelimuti tubuh alah bisa tegal biasa. Biarpun kecut semua yang ada.
Dari zaman Jepun sampai pramerdeka, mereka bersusah-payah mendiang badan di sisi bara. Ibunya akan menyediakan unggun bagi mengalahi dingin pagi yang mencucuk suasana. Waktu itu anak-anak akan berceretet mengelilingi unggun memohon hangat buat seketika.
Sambil tangannya membimbit sepasang kasut untuk disusun sebaiknya agar tidak terbakar ataupun dihinggapi kotoran arang. Api daripada bakaran ranting dan dahan kayu hutan itu memang menghasilkan jelaga hitam.
Debuan daripada nyalaan itu akan hinggap pada kanvas kasut dan gebu tubuh mereka. Dengan lembut ibu akan mengelap dan mengesat menghalau cemar yang ada. Boleh dikatakan setiap dua hari sekali mereka akan mendiang kasut bersama.
Ibu titip petua dan rahsia jaga kebersihan. Dengan asuhan itu mereka jadi anak yang amat menyayangi kesucian. Kasut sekolah yang selalu dijamah cemar itu tetap kelihatan cantik dan melepak putih berseri. Biarpun sukar, mereka tetap menatang miliknya itu dengan cermat sekali.
Sementelah ketika musim hujan, kasut itu akan disimpan dalam beg sandang sepanjang perjalanan. Sampai di sekolah, dicuci kaki lalu sepatu itu dikenakan. Sampai ke tahap itu anak-anak menjaganya supaya kasut sentiasa bersih kelihatan.
Lalu kebiasaan itu menjadi peribadi dan personaliti mereka yang tekal hingga kini. Perjuangan mereka nyata berbaloi kerana sikap menjaga kebersihan ini menjadikan masyarakat pramerdeka begitu prihatin bab ini.
Tiada kejadian penyakit pelik yang melanda orang banyak. Apa lagi simptom leptoporisis, HFMD atau AIDS yang membuatkan orang senak. Penawar demam pening pula cukup dengan celur daun bunga raya putih atau tuam air pada dahi sahaja. Semuanya kerana penjagaan diri dan kebersihan yang jadi kunci utama.
Semangat perjuangan nasionalis di medan juang diterjemahkan dalam diri semua generasi. Biarpun berlainan disiplin, namun obor semangat itu tetap berputik dan menyala di banir hati. Hingga semua skop kehidupan memiliki jati diri dan nilai kecintaan yang tinggi.
Usai mandi dan berdiang, ibu kenakan pakaian sekolah seperti biasa. Tapi kali ini amat istimewa kerana ayah dan ibu kelihatan turut serta, maklumlah hari pertama. Kasut sekolah putih yang baru dikapur dipakainya penuh segak. Sepanjang jalan ayah mengayuh gerek tua dengan Tuknda di balak hadapan dan ibu di belakang.
Di kiri kanan jalan juga kelihatan rakan-rakan sepersekolahan membonceng basikal tua emak ayah masing-masing. Sebilangannya pula hanya bapa mereka seorang sahaja yang menghantar ke sekolah. Ada juga abang atau kakak yang mengayuh basikal.
Itu kenangan yang tidak mungkin Tuknda lupakan daripada laci ingatan. Kenangan betapa seronoknya hari pertama persekolahan setiap awal tahun. Masing-masing akan mengenakan baju baharu yang putih bersih. Seluar pendek biru tua ketika itu. Kasut tetap putih melepak sama dengan kemeja yang Tuknda kenakan.
“Hmmm…” Tuknda mendengus sesal. Kepul asap daripada rokok daun Tuknda memenuhi ruang pengap rumah pusaka gemulah berzaman. Cantik imej yang membentuk simbol cinta itu mengepung pandangan. Seakan melambangkan rasa sayang yang kekal menjadi darah dagingnya hingga sekarang. Kenangan itu tidak mungkin kembali lagi.
3
Hari ini Tuknda dan Neknda didatangi Usu dan anak-anaknya. Sudah lama juga dia tidak kembali ke kampung mengusung rindu, lewat kepergiannya mengikut suami ke serata ceruk kem. Al maklum menjadi askar memang sering berpindah-randah.
“Kali ini mungkin kami akan balik terus ke sini, bonda.” Bersahaja pula Usu membelah sunyi usai kudapan. Mulanya Tuknda dan Neknda bersahaja juga mendengarnya hinggalah mereka benar-benar menghadam kenyataan.
Saling berpandangan. Tuknda lihat cucu tunggalnya yang sudah mula melangkah ke alam persekolahan, khusyuk menjilat tangan menikmati sisa ketuk ubi yang Neknda hidangkan. Memang itulah kali pertama mereka dapat nikmati menu itu.
“Lain je bunyinya,” sua Neknda yang wajahnya berbalam tanda tanya. Bicara berjeda beberapa ketika. Hanya bunyi kecapan mulut masing-masing mengunyah ketuk ubi sahaja yang kedengaran.
“Abang sudah tidak kerja lagi dengan kerajaan. Kalau ayah bonda tidak keberatan, kami nak bermakam di sini. Sampai jasad kami dimakan bumi.” Diam lagi. Tuknda jeling Neknda.
Tidak ada masalah walau di mana diri terdampar, semua ini bumi Tuhan. Sedang ulat mampu hidup dalam batuan, inikan pula manusia yang punya kudrat kekuatan. Di sini tanah titik darah mereka. Wajarlah di sini terdamparnya pusara, gumam Tuknda.
Neknda hulur senyum sinis menyudahi kudapan pagi. Dia tahu masanya telah tiba untuk mereka menjadi melukut kembali. Sejarah pasti berulang apabila faktor-faktor yang menyebabkannya berlaku diulangi. .
4
Hari ini. Tuknda ringan tulang mahu membawa cucunya itu ke pekan. Usu telah cicilkan duit keperluan untuk Iwan membeli keperluan. Sementelah lagi dia dan suami berjualan hingga lewat malam.
Tuknda membawa Iwan ke kedai pakaian. Ini tahun kedua cucunya itu melangkah ke dunia sekolah. Awal tahun kena beli baju baharu, bagi motivasi, lebih-lebih lagi baru berpindah. Orang ramai memenuhi ruang kerana seminggu sekolah akan dibuka.
“Atuk, kena beli kasut,” ujarnya menarik tangan Tuknda ke arah gerai sebelah usai membeli baju. Tuknda rasa mahu menyanggah. Kalau diikutkan kasut sekolah yang Tuknda pakai dahulu boleh tahan dua tiga tahun. Kadang-kadang sampai sendat kerana tumbesaran kaki, tapi masih elok sayang mahu diganti.
“Kasut lama dan rosak ke?” terkeluar juga tanya yang lama tertahan pada halkum Tuknda. Tiada jawapan. Mereka telah masuk ke kedai kasut sebelah. Tuknda gelap mata juga tengok lambakan kasut putih yang sedang dijual lelong. Ada potongan harga hingga 70%!
“Ha, sini cu, murah ni. Ada diskaun!” Tuknda bersungguh menarik tangan Iwan. Tapi sepantas itu pula cucunya membidas. Malah tangan Tuknda pula yang diheretnya. Mahu tak mahu ikut jugalah orang tua itu.
“Iwan nak beli yang itu,” unjuknya kepada kasut yang tersusun cantik di rak tinggi. Tuknda pandang cucunya. Dia ingat lagi ketika di sekolah dahulu kalau pengawas memang pakai kasut berlainan warna dengan budak-budak lain. Tapi cucunya baru tahun dua , mana boleh jadi pengawas lagi.
“Itu kasut hitam, cu!” sanggah Tuknda. Iwan memaku pandangan ke arah Tuknda. Tersentap agaknya.
“Sekarang semua pakai kasut hitamlah tok.” Tuknda diam. Gilirannya pula sentap. Biar betul? Kenangan lamanya mengganggu kembali. Dia ingat betul waktu mengurat Neknda yang bertugas mengawal pintu pagar sekolah. Neknda pengawas masa itu, memang pakai kasut hitam.
Bibirnya seakan menggetus. Dia pandang cucunya atas bawah. Yakah semua kena pakai kasut hitam, rasa pelik, bidas hatinya. Sejak susah dapat surat khabar ini, Tuknda memang kontang berita terkini. Televisyen dan radio pula memang jarang dia buka kerana waktu perdana itu mereka ke surau menadah kitab.
Akhirnya kasut sepasang dibelikan juga. Malangnya pula duit yang Usu kirimkan tidak mencukupi. Terpaksa Tuknda keluarkan duit dari poket sendiri.
Sudah tiba hari persekolahan tahun baharu. Iwan nampak bergaya dengan uniform serba lengkap walaupun pada mata Tuknda agak janggal. Iwan menyalami Tuknda dan Neknda lalu menyelinap ke dalam kereta ayahnya.
Sudah seminggu Iwan mengenakan kasut baharunya. Tuknda tidak pernah lihat pun cucunya itu basuh atau mengelapnya macam dia buat dahulu. Nostalgia mencuci kasut sekolah, mengapur dan berdiang di sisi unggun menjenguk minda Tuknda.
Iwan sudah tidak payah buat itu semua lagi.











