Martin terapkan teknik baharu kepada perenang negara - Utusan Malaysia

Martin terapkan teknik baharu kepada perenang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR, 26 April – Jurulatih renang baharu Malaysia, Chris Martin bertekad untuk meningkatkan tahap prestasi perenang negara bagi menghadapi kejohanan akan datang.


Jurulatih kelahiran Amerika Syarikat yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kejurulatihan di Amerika Syarikat, Scotland, England dan China, berkata Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019 akan menjadi platform baginya memantau tahap prestasi perenang negara, selain mengenal pasti bakat baharu. 


“Sudah semestinya saya akan melihat prestasi mereka (pasukan Malaysia). Setakat ini mereka sudah berusaha keras, jadi saya mahu melihat tahap dan kedudukan kita.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejohanan ini bagus untuk saya melihat perenang negara beraksi dan mengenal pasti perkara yang perlu dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) di Bukit Jalil hari ini.


Martin, yang membimbing jaguh kuak dada Amerika Syarikat Nelson Diebel untuk merangkul dua pingat emas pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, berkata dia akan berusaha membentuk barisan perenang muda dan baharu negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina, November ini.


“Kita perlu mengganti beberapa muka lama dengan muka baharu. Jadi, saya kini sedang melihat perenang muda untuk menjadi generasi perenang negara pada masa akan datang,” katanya.


Sementara itu, Martin mengakui pasukan renang kebangsaan memiliki sikap yang positif untuk meningkatkan prestasi dan bersedia mempelajari teknik-teknik baharu renangan.


“Saya memperkenal beberapa perkara baharu seperti gaya pernafasan baharu, memberikan latihan dengan berbeza, bagaimana bersaing ketika ketinggalan bukan sahaja ketika di hadapan, dan pelbagai strategi berbeza, dan mereka nampak berminat mempelajarinya.


“Ia pastinya memberi banyak peningkatan dalam latihan mereka, dan kini kita perlu gunakannya dalam perlumbaan,” katanya yang baru membimbing skuad renang negara sejak tiga minggu lepas.


Untuk rekod, perenang di bawah bimbingan Martin sebelum ini berjaya mencatat rekod kebangsaan dan bersaing pada Sukan Olimpik, mewakili negara masing-masing.


Perenang di bawah bimbingan Martin juga memenangi banyak kejohanan dan memecahkan empat rekod Amerika Syarikat ketika beliau berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan renang University of Florida dan sekolah Peddie. 


Beliau juga mempunyai barisan atlet yang bersaing pada lima Sukan Olimpik, dan pernah berkhidmat dalam dua petugas kejurulatihan Olimpik, termasuk bagi pasukan Amerika Syarikat pada 1992.- BERNAMA


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini