STUTTGART, Jerman – Pemain pilihan ketiga, Petra Kvitova berjaya mempamer aksi cemerlang apabila mudah menewaskan pemain Belgium yang sedang meningkat naik, Greet Minnen 6-1, 6-4 untuk mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Stuttgart awal pagi semalam.
Meskipun turun beraksi dalam gelanggang tanah liat buat kali pertama musim ini, Kvitova tetap berjaya mendominasi set pertama, namun menerima tentangan sengit daripada Minnen di set kedua yang berjaya menyamakan kedudukan 4-4 sebelum bangkit untuk menang 6-4.
“Saya bermula dengan agak baik di set pertama kerana sudah bersedia sejak dari awal lagi. Saya tidak kenal lawan saya yang mana ia sesuatu yang boleh memberi kesukaran kepada saya. Namun, saya tetap fokus dalam permainan.
“Beraksi di gelanggang tanah liat kali pertama selalunya amat sukar. Saya lebih suka bermain di gelanggang keras kerana lebih mudah melakukan servis. Walaupun aksi saya tidak konsisten pada pertemuan ini, namun untuk menang pada aksi pertama di permukaan gelanggang seperti ini saya rasa ia sudah cukup bagus,” jelas Kvitova.
Pemain No. 3 dunia dari Republik Czech itu akan berdepan pemenang antara pilihan ketujuh kejohanan, Anastasija Sevastova dan juara tahun 2017, Laura Siegemund bagi perebutan tempat ke separuh akhir. – Agensi











