Lapan serangan berkemahiran tinggi - Utusan Malaysia

Lapan serangan berkemahiran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR pukul 8.30 pagi Ahad lalu, Sharon Silviya, 26, bersama ibu, Mary Otricia Johnson, 47, dan seorang anaknya telah pergi ke gereja St. Anthony di Colombo, Sri Lanka sempena sambutan Hari Easter.

Dalam keadaan pagi yang masih hening, ketika mereka berada di gereja, Sharon diajak anaknya untuk melihat ikan di kedai akuarium di hadapan gereja berkenaan.

Melihat keterujaan cucunya itu, Otricia Johnson berkata kepada Silviya supaya menuruti kehendak anaknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itulah perbualan terakhir Mary Otricia bersama Silviya sebelum satu letupan kuat berlaku di gereja berkenaan beberapa minit selepas Silviya dan anaknya menuju ke kedai akuarium tersebut.

“Letupan itu berlaku sekelip mata, selepas itu apa yang saya nampak jasad manusia bergelimpangan dan darah di merata-rata tempat.

“Meskipun terkedu dengan kejadian itu saya lantas menutup mata anak saya dan membawanya ke tempat yang selamat sebelum bergegas ke kawasan gereja untuk mencari ibu saya,” katanya dalam temu bual bersama akhbar New York Times baru-baru ini.

Silviya menambah, dia menemui ibunya dalam keadaan terbaring serta mata dan hidungnya berdarah. Orang ramai yang datang membantu ketika itu mengangkatnya ke kawasan yang lebih selamat saat dia bernafas kencang ketakutan.

“Tidak tergambar perasaan saya ketika itu. Saya hanya mampu berbisik kepadanya supaya jangan takut dan bernafas dengan tenang.

“Dalam keadaan yang kacau- bilau, pasukan paramedik memberitahu mereka tidak menang tangan untuk membantu semua mangsa pada ketika itu. Saya kemudian nekad membawa ibu saya ke hospital menggunakan beca motosikal,” ujarnya.

Bagaimanapun, Otricia Johnson tidak mampu bertahan sehingga ke hospital, dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.

Otricia Johnson merupakan antara sekurang-kurangnya 310 mangsa termasuk 35 orang asing yang maut ekoran insiden lapan siri letupan bom yang menyasarkan gereja dan hotel mewah di Sri Lanka Ahad lalu.

Radikal

Letupan yang turut menyebabkan kira-kira 500 orang cedera itu melibatkan tiga buah gereja iaitu St. Anthony di Colombo, St. Sebastian di Negombo dan sebuah gereja lagi di bandar Batticaloa.

Turut terlibat empat buah hotel mewah sekitar Colombo termasuk destinasi popular dalam kalangan pelancong asing iaitu hotel Cinnamon Grand, selain sebuah kawasan perumahan.

AFP turut melaporkan, berdasarkan sumber hospital, pelancong daripada Britain, Belanda, Portugal, Australia dan Amerika Syarikat, China dan Jepun merupakan antara mangsa yang terkorban.

Kejadian siri letupan bom di Sri Lanka bukanlah sesuatu yang baharu, namun kali ini ia sekali lagi menggemparkan dunia apabila insiden berkenaan melibatkan rata-rata penganut agama Kristian dan Kumpulan Jemaah Tauhid Nasional (NTJ) pada awalnya disyaki menjadi dalangnya.

Kejadian yang dikaitkan dengan penglibatan kumpulan radikal Islam ini dilaporkan menerusi amaran perisikan 10 hari sebelum hari kejadian daripada Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara bahawa kumpulan pengebom bunuh diri merancang untuk menyerang gereja-gereja utama.

Selain itu juga dalam satu laporan berita di New York Times Isnin lalu, kerajaan Sri Lanka juga mendakwa serangan berkenaan turut dilakukan oleh kumpulan sama.

Mengejutkan kelmarin apabila kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan pengebom bunuh diri di gereja dan hotel mewah Sri Lanka itu.

Pengakuan itu disertakan dengan gambar dan rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki yang didakwa Daesh sebagai penyerang yang melakukan pengeboman itu.

Menurut kumpulan militan tersebut, serangan di Colombo itu bertujuan membalas dendam pembunuhan beramai-ramai 50 orang Islam di dua buah masjid di New Zealand bulan lalu.

“Mereka yang melakukan serangan menyasarkan anggota-anggota pakatan diketuai Amerika Syarikat dan penganut Kristian di Sri Lanka pada Ahad lalu ialah pejuang Daesh,” kata agensi propaganda milik kumpulan militan tersebut, Amaq seperti yang dilaporkan AFP.

Perintah berkurung

Setakat ini, polis Sri Lanka telah menahan 24 orang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan letupan di hotel dan gereja.

Salah seorang lelaki juga dipercayai pengebom bunuh diri yang telah ditangkap beberapa bulan yang lalu kerana disyaki telah merosakkan patung Buddha di Sri Lanka turut disenaraikan bagi membantu siasatan.

Susulan kejadian itu juga satu perintah berkurung dikeluarkan oleh kerajaan Sri Lanka pada malam Isnin lalu di Colombo. Media sosial dan perkhidmatan pesanan utama, termasuk Facebook dan WhatsApp telah disekat oleh kerajaan dalam usaha untuk mengekang penyebaran maklumat salah.

Menteri Kesihatan Sri Lanka, Rajitha Senaratne dalam satu sidang akhbar Isnin lalu pernah mendakwa kejadian berkenaan melibatkan sebuah kumpulan daripada organisasi tempatan yang terdiri daripada penduduk tempatan.

Namun beliau turut menambah terdapat rangkaian antarabangsa yang menyokong gerakan ini. Kenyataan itu turut dikeluarkan oleh agensi perisikan Sri Lanka.

Secara kronologinya, Sri Lanka selama ini tidak mempunyai banyak sejarah keganasan melibatkan orang Islam. Rakyat negara ini kebanyakannya menganut agama Buddha dengan minoriti Hindu, Muslim dan Kristian.

Dari tahun 1983 hingga 2009, pemisah daripada kumpulan etnik Tamil yang kebanyakannya beragama Hindu, berperang dalam perang saudara yang panjang dengan kerajaan negara itu yang dikuasai oleh majoriti etnik Sinhala yang kebanyakannya beragama Buddha.

Naib presiden sebuah firma analisis taktikal dan perundingan geopolitik Amerika Syarikat, Scott Steward menghuraikan, sesiapapun yang merancang siri pengeboman ini telah menunjukkan kecekapan yang tinggi, satu fakta yang pasti membimbangkan agensi penguatkuasaan undang-undang di dunia.

“Jika kumpulan-kumpulan ekstremis kecil menggunakan bahan peledak, mereka sering bermula dengan beberapa kegagalan. Sesetengah bom gagal meletup sepenuhnya dan yang lain meletup awal, terlambat atau langsung tidak meletup.

“Tetapi dalam serangan di Sri Lanka, boleh dikatakan kesemua jaket bunuh diri meletup dan menyebabkan kerosakan besar. Ini menunjukkan bahawa mereka yang terlibat mempunyai kemahiran membuat bom dan mampu secara manual mengaktifkan detonator. Ia juga menunjukkan mereka mempunyai akses kepada bekalan besar bahan letupan tentera bergred tinggi,” katanya.

Bekas pengarah kanan di Majlis Keselamatan Negara, Joshua A. Geltzer pula memberitahu, dia juga tidak terkejut sekiranya sekumpulan kecil pengganas dapat melakukan serangan tanpa sebarang bantuan.

“Terdapat begitu banyak akses dan bimbingan yang terdapat di internet pada hari ini. Segala maklumat itu dapat disalahgunakan oleh mana-mana kumpulan pengganas,” katanya.

Penganalisis keganasan, Nicholas J. Rasmussen berkata, kehadiran beberapa pejuang NTJ dari Sri Lanka di Syria dan Iraq juga menimbulkan prospek hubungan tidak formal dengan anggota NTJ yang masih di Sri Lanka.

“Sukar untuk membayangkan serangan kompleks ini tanpa organisasi atau sokongan daripada kumpulan yang telah melakukan perkara seperti ini sebelum ini,” jelasnya.

Lapan siri pengeboman yang menyasarkan hotel dan gereja di Sri Lanka Ahad lalu menunjukkan pelakunya mempunyai kemahiran dan kecekapan tinggi dalam melakukan serangan keganasan, satu fakta yang pasti membimbangkan agensi penguatkuasaan undang-undang di dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini