JERMAN 25 April – Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich berdepan detik cemas sebelum memastikan tiket final Piala Jerman menjadi milik mereka apabila menewaskan Werder Bremen 3-2 dalam aksi separuh akhir kejohanan, semalam.
Bayern terlebih dahulu mendahuli dua gol sebelum Werder bangkit menyamakan kedudukan bagaimanapun nasib menyebelahi skuad kendalian Niko Kovac apabila Robert Lewandowski meledak gol kemenangan selepas menyempurnakan penalti ketika permainan berbaki 10 minit.
Itu merupakan kekalahan kedua Werder di tangan Bayern selepas mereka ditimpa dengan nasib yang sama dalam aksi liga pada minggu lalu. Bayern akan berdepan Leipzig dalam aksi final pada 25 Mei ini.
Bayern muncul naib juara pada musim lalu setelah tewas kepada Eintracht Frankfurt.
“Kami tahu perlawanan ini sukar. Kami diberikan penalti namun kami juga mencipta peluang. Kami sememangnya layak ke final.
“Kami tidur dalam tempoh dua minit dan itu memberi ruang kepada Bremen menyamakan kedudukan. Penalti mungkin diperoleh disebabkan nasib namun secara keseluruhannya kami layak untuk memenangi perlawanan ini,” kata Kovac. – AGENSI











