MANCHESTER 25 April – Pengurus Manchester City Pep Guardiola percaya pasukannya mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas memintas Liverpool untuk kedudukan teratas menerusi kemenangan 2-0 ke atas Manchester United hari ini.
Jaringan Bernardo Silva dan Leroy Sane dalam tempoh 12 minit selepas waktu rehat sudah cukup memberikan kepedihan buat skuad Red Devils yang tumpas kali ketujuh sepanjang sembilan perlawanan, menyaksikan mereka ketinggalan tiga mata dari kelompok empat teratas.
City bagaimanapun tidak menyamai pencapaian musim lalu, tetapi kemenangan ke atas Burnley, Leicester dan Brighton membolehkan mereka memungut 98 mata, sekali gus memanjangkan kemarau 29 tahun Liverpool untuk mengucup trofi Liga Perdana.
“Kami menamatkan saingan Liga Perdana musim lepas dengan 100 mata, itu adalah tahap di mana ia menjadi buruan Liverpool. Apa yang mereka lakukan cukup menakjubkan namun ia (kemenangan) berada di tangan kami.
“Liverpool dan City masing-masing berpeluang merebut kejuaraan, namun hanya satu sahaja yang akan memilikinya. Pasukan yang akan kalah tidak boleh menyesal kerana mereka telah memberikan segala-galanya,” kata Guardiola.
Begitupun, pengendali tersebut menggesa agar anak-anak buahnya tida memandang sebelah mata terhadap Burnley, Ahad ini (pukul 9.05 malam waktu Malaysia.
“Adalah normal jika anda ingin menikmati kejayaan yang akan tiba, namun anda perlu bertenang. Sekarang kita akan bertemu Burnley dan kami tahu betapa sukarnya perlawanan itu nanti
“Sangat penting untuk bertenang. Kami masih belum mengesahkan kejuaraan kerana masih ada tiga lagi baki perlawanan. Sangat menakjubkan dengan apa yang Liverpool dan kami lakukan untuk memungut mata,” kata Guardiola.- AFP











