LONDON 25 April – Bintang Belgium, Eden Hazard bakal menjadi salah seorang pemain mendapat bayaran paling tinggi di Eropah pada musim panas ini jika dia membuat keputusan untuk meninggalkan Chelsea menyertai Real Madrid.
Cakap-cakap mengenai khabar angin pemain berusia 28 tahun itu untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol tersebut bukan sesuatu yang baharu malah dijangka dia akan memeterai kontrak perjanjian dengan Real pada hujung musim ini.
Menurut media tempatan British, The Sun bahawa Chelsea akan membenar Hazard meninggalkan Stamford Bridge dengan yuran perpindahan mencecah 100 juta pound (RM533 juta).
Real turut dilaporkan bersedia untuk menawarkan gaji lumayan 400,000 pound (RM2.1 juta) seminggu selepas dikenakan cukai menyamai 20 juta pound (RM106 juta) setahun.
Hazard menjadi tonggak Chelsea pada musim ini, menjaringkan 16 gol serta melakukan 13 gerakan gol sepanjang 34 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sejak menyertai Chelsea dari Lille pada 2012, Hazard memenangi dua trofi EPL, Piala FA, Piala Liga dan satu Liga Europa. – AGENSI











