KUANTAN – Niat seorang guru untuk membuat pinjaman RM55,000 bagi membiayai percutiannya di China berakhir dengan kerugian RM23,288 selepas ditipu baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, guru wanita berusia 26 tahun itu berminat membuat pinjaman selepas melihat iklan di Facebook.
Mohd. Wazir menambah, guru berkenaan meninggalkan nombor telefon serta maklumat peribadi melalui borang yang disertakan di bawah paparan iklan pinjaman tersebut di laman sosial itu.
“Selepas itu, dia dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pinjaman wang yang beralamat di Pulau Pinang.
“Mangsa juga dimaklumkan permohonan pinjaman telah lulus dan perlu membuat bayaran proses,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.
Ujar Mohd. Wazir lagi, mangsa melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke dalam akaun suspek, namun masih tidak menerima amaun pinjaman tersebut sehingga semalam.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











