LONDON 23 April – Chelsea bukan saja mensia-siakan peluang untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, malah melengkapkan malam mengecewakan apabila pengurus mereka, Maurizio Sarri diarah meninggalkan padang.
Sarri berang dengan hampir semua orang dan semua perkara ketika pasukannya diikat 2-2 oleh kelab tangga ke-15, Burnley dalam aksi di Stamford Bridge, hari ini.
Mereka telah melepaskan peluang terhidang untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik, apatah lagi selepas tiga pesaing utamanya – Tottenham, Arsenal dan Manchester United gagal meraih kemenangan.
Meskipun mendahului 2-1 hanya 15 minit selepas permainan berlangsung, namun Blues mencatat penamat mengecewakan untuk sekadar menghuni tangga keempat liga dengan 67 mata, hanya satu mata mengatasi Arsenal yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
“Dia (Sarri) sangat kecewa, jadi dia tidak mahu datang ke sini (sidang akhbar). Dia juga diarah keluar padang, dan keadaan itu membuatkan dia bertambah kecewa, saya minta maaf.
“Sudah tentu kalau kami mengutip tiga mata, ceritanya akan berbeza, apa pun kami masih berjaya berkongsi mata. Kami berjuang hingga ke akhir perlawanan,” kata penolong jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola.
Keputusan seri bukan perkara paling buruk menimpa Chelsea hari ini, lebih malang lagi bintang penyerang paling menyinar, Callum Hudson-Odoi terpaksa melupakan saingan sehingga tamat musim akibat kecederaan tendon Achilles.
Dalam aksi hari ini, Chelsea terlebih dulu dikejutkan dengan gol awal Burnley pada minit kelapan menerusi Jeff Hendrick.
Bagaimanapun, Chelsea bangkit menerusi jaringan pantas Ngolo Kante pada minit ke-12 dan Gonzalo Higuain, minit ke-14.
Ashley Barnes menafikan tiga mata buat Chelsea apabila meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-24. – AGENSI











