LONDON 23 April – Chelsea melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris namun kedudukan mereka untuk kekal di situ sehingga ke penghujung musim masih belum selamat.
Skuad bimbingan Maurizio Sarri itu seri 2-2 menentang Burnley awal hari ini yang jelas menyaksikan keputusan tersebut tidak banyak membantu mereka mengukuhkan kedudukan sebaliknya bila-bila masa boleh dipintas semula sama ada oleh Arsenal mahu pun Manchester United.
Lebih membimbangkan adalah persembahan yang ditunjukkan pemain Chelsea dalam perlawanan itu yang hanya memberikan sedikit keyakinan dalam usaha mereka melayakkan diri ke Liga Juara Juara Eropah musim depan.
Dengan berbaki tiga perlawanan lagi, Chelsea mengumpul 67 mata sama dengan Tottenham Hotspur di tangga ketiga manakala Arsenal 66 mata dan United 64 mata. Bagaimanapun Spurs, Arsenal dan United masih berbaki empat perlawanan lagi. – AFP











