KANGAR 22 April – Kira-kira 100 orang murid dan guru dari 20 buah sekolah di negeri ini telah menyertai Program Lestari Alam Sekitar dan Perkongsian Amalan Terbaik sempena Hari Bumi 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di sini, semalam.
Dalam program yang julung-julung kali diadakan itu, SK Putra dilantik sebagai mentor kepada sekolah-sekolah terbabit yang terdiri daripada 12 buah sekolah rendah dan bakinya, sekolah menengah.
Menurut Guru Besar SK Putra, Rokiah Che Hassan, tujuan program itu diadakan adalah untuk berkongsi amalan-amalan terbaik dalam kehidupan harian di sekolah-sekolah dan rumah demi menjaga alam sekitar.
Katanya, selain daripada itu, ia bagi menambah pengetahuan dan menggalakkan para pelajar menceburi bidang pertanian moden secara melestarikan alam, selepas meninggalkan alam persekolahan.

Turut menyaksikan penerangan itu ialah Joohari Ariffin dan Rokiah Che Hassan (dua dari kiri). – UTUSAN ONLINE
“Antaran program yang dijalankan adalah projek fertigasi dan baja tanpa menggunakan bahan-bahan kimia dan mengitar semula bahan-bahan terbuang seperti botol-botol plastik menggantikan pasu bunga serta inovasi barangan terpakai.
“Turut dilakukan ialah bagaimana para pelajar digalakkan untuk menadah air hujan untuk dijadikan siraman pokok sekali gus menjimatkan air,” katanya di sini.
Perasmian program yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis itu disempurnakan Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Kementerian Pendidikan, Dr Joohari Ariffin.
Yang turut hadir rakan jaringan iaitu wakil dari Jabatan Pertanian negeri, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri.
Tambah Rokiah, program lain ialah mewujudkan taman herba, menternak ikan tilapia, stesen pembelajaran.
Kata beliau, semua dokumen, sijil, bahan-bahan inovasi dipamerkan bilik pameran Pusat Maklumat Alam Sekitar (Pumas) SK Putra. – UTUSAN ONLINE











