Jenama Eraman diperkukuh - Utusan Malaysia

Jenama Eraman diperkukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 22 April – Pelancaran semula jenama milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Eraman malam ini diyakini akan membuka ruang kepada peluang-peluang baharu untuk memperkukuh serta meletakkan jenama berkenaan sebagai sebuah peruncit utama lapangan terbang dalam rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, jualan setiap penumpang (SSP) bagi lapangan terbang syarikat itu pada tahun lalu berada pada kadar RM27.80 dengan jumlah tertinggi dicatatkan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu sebanyak RM37.50.

Hakikatnya, jelas beliau, KLIA masih ketinggalan dalam soal SPP berbanding lapangan-lapangan terbang lain di rantau ini yang dilihat telah mencapai kadar SPP sebanyak dua atau tiga kali ganda lebih tinggi walaupun memiliki ruang niaga yang sama atau lebih kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkembangan ini kebanyakannya disebabkan oleh aspek campuran runcit dan kurangnya pengezonan ruang niaga yang berkesan.

“Atas sebab inilah kita membuat keputusan penting untuk memulakan strategi penetapan semula komersial dengan objektif untuk memperbaiki campuran runcit menerusi langkah memperkenalkan jenama-jenama baharu dan memformat semula susun atur runcit untuk memaksimumkan kemasukan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Semula Jenama Eraman di sini malam ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Penjenamaan semula Eraman merangkumi penambahbaikan serta pembesaran kedai-kedai runcit selain premis makanan dan minumannya (F&B).

Dalam sidang akhbar selepas itu, Pengerusi Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd., Datuk Seri Michael Yam berkata, penjenamaan semula itu merangkumi penukaran logo, cogan kata, pakaian seragam, susun atur stor serta penawaran.

“Apa yang penting adalah kesemua kira-kira 1,000 pekerja kita juga melalui transformas. Ini meliputi usaha mengubah sisi dalaman termasuk kakitangan sikap mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini