KUALA LUMPUR 22 April – Pas menyifatkan serangan pelampau di Colombo, Sri Lanka sehingga mengorbankan lebih 290 orang penganut Kristian sebagai suatu tindakan terkutuk yang melampaui batas kemanusiaan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya untuk menghormati hak penganut agama lain.
Beliau malah memberitahu, Islam juga melarang umatnya daripada merosakkan rumah ibadat walaupun dalam peperangan.
“Pas melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa serangan pelampau ketika sejumlah penganut Kristian sedang menyambut perayaan Easter di Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari portal Harakah Daily hari ini.
Angka kematian akibat siri letupan di gereja dan hotel di Colombo ketika sambutan Hari Easter semalam meningkat kepada 290 orang manakala lebih 500 lagi dilaporkan cedera.
Jurucakap polis Colombo, Ruwan Gunasekera berkata, setakat ini polis menahan 24 individu yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.
Tambah Abdul Hadi, Pas menegaskan bahawa toleransi antara agama adalah amat penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara.
Katanya, parti itu juga menzahirkan solidariti kepada Sri Lanka untuk mengembalikan keamanan setelah berhadapan dengan serangan terkutuk ini. -UTUSAN ONLINE











