JOHOR BAHRU 22 April – Dewan Muda Johor (DMJ) menyelar tindakan golongan bukan Bumiputera yang mempersoalkan mengenai isu kuota matrikulasi kerana objektif asal program tersebut sememangnya dirangka untuk pelajar Bumiputera.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Keagamaan DMJ, Nur Faizal Kasri berkata, bagaimanapun, dalam hal itu, golongan Bumiputera sudah bersikap lebih terbuka dan bertimbang rasa kepada kaum lain dengan memperkenalkan formula 90:10.
Menurutnya, dengan formula itu, sudah jelas program yang dirangka khusus untuk Bumiputera telah pun dibuka peluangnya kepada bukan Bumiputera sekali gus membuktikan Bumiputera tidak mengabaikan pendidikan kaum lain apatah lagi bersikap perkauman.
“Malah, bumiputera sanggup mengorbankan sebahagian hak mereka untuk kepentingan kaum lain, seharusnya kaum lain berterima kasih dan belajar untuk bersyukur.
“Berkenaan ada seorang pelajar bukan bumiputera yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meminta kuota yang lebih kerana itu dinamakan persaingan. Tentu sahaja dengan mudah ia boleh diselesaikan tapi bukan dengan cara memberi kuota yang lebih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ada perkara yang lebih penting dan lebih utama yang harus diberi perhatian oleh kerajaan iaitu penindasan yang berlaku ke atas pekerja Bumiputera yang diberi layanan berat sebelah di syarikat swasta bukan milik Bumiputera.
Nur Faizal berkata, perkara itu dicerminkan dengan gaji yang rendah kenaikan gaji dilambatkan dan peluang kenaikan pangkat yang terhad, namun dengan layanan sebegitu teruk, pekerja Bumiputera tetap bersabar dan terus bekerja tanpa pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada mereka.
Selain itu, tambahnya, ada banyak kes layanan buruk yang diterima pekerja Bumiputera seperti dilayan hingga ke tahap menyentuh sensitiviti agama Islam seperti tidak membenarkan memakai tudung dan tidak memberi kebenaran menunaikan solat Jumaat, namun kebanyakan kes tidak dilaporkan.
“Perkara itu yang sepatunya perlu diberi keutamaan dan penekanan kerana jika dibiarkan akan menyebabkan konflik antara kaum. Jadi, adalah tidak adil isu kuota itu dijadikan keutamaan akan tetapi nasib pekerja bumiputera diabaikan,” katanya.
Justeru, DMJ mendesak kerajaan supaya terus menetapkan kuota bagi program matrikulasi dalam skala 90:10 kerana program ini khusus dibuat untuk pelajar Bumiputera dan pada masa sama merangka satu dasar lebih adil dalam menyelesaikan konflik yang berlaku di kalangan pekerja bumiputera di sektor swasta.
Tegasnya, jika tuntutan kuota dilayan, DMJ khuatir akan datang semua perkara hendak dituntut sama rata sekali gus majoriti yang sepatutnya dapat lebih akan mengorbankan hak mereka dan menyebabkan ada sebahagian majoriti yang dinafikan hak mereka.
“Keadilan itu bukan sentiasa bermakna sama rata. Suka diingatkan bahawa kita tidak mengamalkan pepatah Melayu ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan’,” katanya. – UTUSAN ONLINE











