Matrikulasi: Pertahan kuota bumiputera, tetapi tidak ketepikan pelajar cemerlang - Utusan Malaysia

Matrikulasi: Pertahan kuota bumiputera, tetapi tidak ketepikan pelajar cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 22 April – Kuota bumiputera dalam kemasukan ke program matrikulasi perlu dipertahankan memandangkan pusat pendidikan itu sememangnya pada asasnya ditubuhkan untuk pelajar-pelajar beragama Islam.

Bagaimanapun kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohammed Firdaus Johari, Kementerian Pendidikan perlu mencari mekanisme atau membentuk jawatankuasa bagi mengelak pelajar bukan bumiputera yang benar-benar cemerlang tidak tercicir daripada mendapat tempat di pusat pengajian itu.

Katanya, jawatankuasa itu mungkin boleh menilai berapa peratus kuota perlu ditambah untuk memastikan tidak ada keciciran pelajar berlaku dalam masa sama tidak menafikan kuota bumiputera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita memahami kerisauan rakan-rakan DAP dalam isu ini dan kita tahu memang berlaku keciciran peluang (bukan Islam) bagi pelajar yang cemerlang ekoran kuota ini. Justeru atas prinsip Malaysia yang lebih adil, memang wajar dilakukan penelitian semula untuk mengkaji peruntukkan kuota sedia untuk dinaikkan.

“Perkara itu, memerlukan penelitian supaya kuota bumiputera dapat dikekalkan dan dalam masa sama memberi keadilan kepada kaum-kaum lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pemimpin DAP agar kerajaan menghentikan amalan mengutamakan pelajar-pelajar bumiputera dalam program matrikulasi.

Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Leong Yu Shen dilaporkan hari ini sebagai berkata, amalan terbabit bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan untuk tidak mendiskriminasi rakyat.

Yu Shen berkata, dasar sekarang yang memperuntukkan hanya 10 peratus tempat kepada pelajar bukan bumiputera di 15 pusat matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara juga tidak adil kerana pusat itu ditanggung oleh wang pembayar cukai.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilaporkan berkata, dasar untuk menyediakan 90 peratus tempat dalam program itu kepada bumiputera kekal, tetapi Kabinet akan membincangkan mengenainya jika terdapat keperluan untuk menambah kuota lebih besar kepada pelajar bukan bumiputera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini