Penggunaan GPS untuk Firefly melibatkan kos - Utusan Malaysia

Penggunaan GPS untuk Firefly melibatkan kos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 21 April – Akan melibatkan kos bagi Firefly Malaysia dalam melaksanakan prosedur penggunaan instrumen berasaskan GPS di Lapangan Terbang Seletar bagi menggantikan prosedur Sistem Instrumen Pendaratan (ILS), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, penggunaan GPS merupakan keperluan yang kedua-dua pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Singapura telah persetujui sebelum ini.

“Amaun yang terlibat merupakan keputusan komersial oleh Firefly. Kami berharap Firefly dapat bekerjasama rapat berhubung perkara itu dengan memenuhi tempoh diberikan, dan kami sedang melihat (untuk ia) dilaksanakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatanya dari Singapura Khaw Boon Wan di Lapangan Terbang Seletar di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Loke sedang melakukan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Seletar bersempena penerbangan sulung Firefly ke Singapura, FY3126 yang diberikan sambutan meriah dengan tembakan meriam air sebaik tiba pada kira-kira 11 pagi.

Sementara itu, Khaw berkata, pengawal selia kedua-dua negara akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan pendekatan baharu GPS itu.

“Kami sedang mengkaji beberapa kemungkinan dan pengawal selia (kedua-dua negara) akan bermesyuarat minggu depan dan saya yakin ia akan dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat,” katanya.

Pertikaian udara mula tercetus pada 23 November tahun lepas apabila Firefly berkata ia akan menggantung semua penerbangan ke Singapura mulai 1 Disember 2018, pada hari ia sepatutnya memindahkan operasinya daripada Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia membantah prosedur pendaratan baharu bagi Lapangan Terbang Seletar, mendakwa bahawa mereka akan mengenakan larangan ketinggian dan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang.

Bagaimanapun, pada 6 April lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa atas semangat kerjasama dua hala, Singapura akan menarik balik prosedur ILS bagi Lapangan Terbang Seletar.

Firefly pada 12 April lalu mengumumkan ia akan meneruskan semula penerbangannya ke Singapura mulai semalam dan penerbangan antara Lapangan Terbang Subang dan Seletar akan diadakan dua kali sehari dari 22 hingga 28 April, kemudiannya disusuli dengan enam penerbangan setiap hari. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini