LONDON 21 April – Ole Gunnar Solskjaer mengingatkan bahawa rombakan besar-besaran dalam kem Manchester United adalah satu projek jangka panjang sambil menegaskan hanya akan mendapatkan pemain yang sesuai dengan ‘DNA’ kelab itu.
United dijangka aktif dalam pasaran perpindahan pemain dengan pemain menyasarkan sensasi Borussia Dortmund, Jadon Sancho; pertahanan tengah Napoli, Kalidou Koulibaly dan bintang Real Madrid, Gareth Bale sebagai keutamaan.
Beberapa pemain dijangka meninggalkan Old Trafford musim hadapan termasuk Matteo Darmian dan Antonio Valencia sudah mengesahkan akan meninggalkan United manakala Alexis Sanchez, Ander Herrera, Juan Mata, Romelu Lukaku dan Marcos Rojo masih belum membuat keputusan.
“Kami merancang untuk berada dalam kelompok atasan, kami merancang untuk berada dalam Liga Juara-Juara.
“Kami mahukan pemain yang dapat mengekalkan kami dalam Liga Juara-Juara dan membantu kami mencabar gelaran tetapi kami sedar tiada jalan pintas untuk itu.
“Ada pemain-pemain baharu yang akan tiba pada musim panas ini tetapi jumlahnya tidak besar.
“Kami mahu membina semula pasukan ini tetapi ia perlulah dilakukan secara beransur-ansur menerusi beberapa jendela perpindahan.
“Ketika saya tiba, ada yang menganggap kami perlu menyuntik semula DNA United ke kelab, pasukan dan pemain.
“Kami perlu mendapatkan kembali budaya DNA itu tetapi apakah definisi sebenarnya tentang budaya itu? Bagi saya, ia tentang bagaimana kami melakukan sesuatu perkara itu di sini,” kata Solksjaer-AGENSI











