Kantoi cuba seludup keluar gula, remaja ditahan Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Kantoi cuba seludup keluar gula, remaja ditahan Maritim Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU 21 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang remaja lelaki di kedudukan 2.7 kilometer dari Sungai Pukol, Sebatik di sini selepas cuba menyeludup keluar lebih satu tan gula bersubsidi ke Indonesia pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd. Yusri Hussin berkata, remaja tempatan berusia 18 tahun itu ditahan pada pukul 5.15 petang selepas pihaknya yang sedang menjalankan Op Pluto terserempak dengan bot jongkong dikendalikan suspek membawa muatan gula seludup itu.

“Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong tersebut membawa muatan gula bersubsidi tanpa dokumen yang sah daripada Pejabat Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Tawau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahanan dan barang rampasan yang dianggkarkan bernilai RM50,000 itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras serta mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Katanya, orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini