KUALA LUMPUR 15 April – Seramai 348 peserta melibatkan penduduk Pinggiran Batu Caves, Flat Taman Gemilang, Desa Temenggung dan Kampung Melayu Sri Gombak menjayakan Program Gotong-Royong Basmi Denggi Perdana di Medan Selera Pinggiran Batu Caves, dekat sini semalam.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam kenyataan di sini hari ini berkata, program anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pihak berkuasa tempatan itu bertujuan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di kawasan berkenaan.
Katanya, program itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, A. Rahim Ahmad Kasdi.
“Program diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan plogging dan ecobrick selain pameran dan cabutan bertuah. Sebanyak 49 botol ecobrick dan 1,552 bekas yang berpotensi menjadi sarang pembiakan Aedes telah dapat dikumpulkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











