Peragut sasar pelancong warga asing tumpas - Utusan Malaysia

Peragut sasar pelancong warga asing tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR -Tiga lelaki yang aktif melakukan jenayah ragut di sekitar ibu negara sejak Januari lalu tumpas selepas berjaya dijejaki dan ditahan polis pada 9 dan 10 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, tengkapan ke atas tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan polis pada 9 April lalu daripada seorang pelancong wanita warga Vietnam yang mendakwa telah diragut oleh seorang lelaki bermotosikal. 

“Wanita berusia 35 tahun itu mendakwa dihampiri oleh seorang lelaki bermotosikal sewaktu sedang melintas jalan menuju ke Persiaran KLCC di sini sebelum beg tangannya diragut sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM13,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan laporan yang dibuat wanita berkenaan, pihak polis telah berjaya mengesan dua buah motosikal yang dilihat dalam keadaan mencurigakan menerusi Ops Rentap Khas di ibu negara kira-kira pukul 2 petang 9 April lalu,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini. 

Menurut Rudy, kedua-dua lelaki bermotosikal berkenaan bertindak memecut melarikan diri sebaik dihampiri pihak polis dan berlaku adegan kejar-mengejar sebelum salah seorang daripada mereka berjaya ditahan di Jalan Yap Kwan Seng. 

“Susulan penahanan lelaki tersebut, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Dang Wangi telah melakukan tangkapan ke atas dua lagi lelaki di Jalan Ampang pada keesokan harinya. 

“Kesemua suspek yang disoal siasat kemudiannya mengaku terlibat dalam kejadian jenayah ragut di sekitar kawasan Dang Wangi dan juga Gombak malah turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes ragut serta penyalahgunaan dadah,” jelas beliau. 

Tambah Rudy, modus operandi kesemua suspek adalah menyasarkan pelancong warga asing dan bergerak secara berpasangan (dua buah motosikal) di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. 

“Setelah berjaya meragut, mereka akan mengambil barangan berharga dan membuang beg tangan serta barangan yang tidak bernilai ke dalam Sungai Gombak. 

“Kesemua suspek yang ditahan kini direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 14 tahun sekiranya disabitkan kesalahan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini