KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memutuskan untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pengarah teknikal pasukan, Alfredo Carlos Gonzales menerusi potongan geran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tunggakan tersebut dibayar sebelum tamat tarikh yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kafa tidak mahu berdepan tindakan dipotong mata seterusnya selain sekatan pembelian pemain import sekiranya tuntutan berjumlah RM235,686 tidak dibayar sebelum tarikh itu, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sebelum ini, pasukan Kelantan yang bersaing dalam Liga Premier dipotong tiga mata selepas gagal menjelaskan tuntutan Gonzales mengikut tempoh yang ditetapkan oleh FIFA.
Pada masa sama, Bibi Ramjani berkata masalah itu berpunca daripada My Inspiration Sdn. Bhd. yang menarik diri daripada kerjasama dengan KAFA menerusi penubuhan syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd.
“Sebelum ini mereka buat kenyataan untuk bayar tunggakan gaji Alfredo dan pergi berjumpa dengan FAM tangguh sebulan pembayaran itu, dan dibenarkan penangguhan itu.
“Jadi apabila mereka tangguh, mereka mempunyai komitmen untuk bayar namun sebaliknya mereka membuat keputusan menarik diri sebelum tarikh pembayaran yang tetapkan FIFA tamat.
“Mereka tidak beritahu kepada kami mereka tidak mahu bayar… mereka mengambil keputusan tarik diri dan hanya beri harapan untuk bayar sehinggakan kami kesuntukan masa dan tidak bersedia untuk berdepan kes ini bagi mendapat sumber kewangan sehingga pasukan dipotong mata,” katanya.
Mengulas perkembangan berkaitan, Bibi Ramjani berkata pihaknya terpaksa menamatkan kontrak pengarah teknikal semasa Jorg Steinerbrunner semalam dalam usaha persatuan mengurangkan kos.
“Kami juga sedang berbincang dengan pemain import iaitu Flavio Beck Junior berhubung kedudukan beliau bersama pasukan bagi menghadapi saingan liga,” katanya. – Bernama











