KETIKA Kru Panorama tiba di pekarangan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, kelibat seorang lelaki Sepanyol bersama dua orang pelajar dilihat sedang menari dengan begitu rancak mengikut alunan muzik yang berkumandang di corong radio.
Tidak semena-mena, langkah kaki kami turut terikut-ikut dengan lenggok tari yang dilakukan.
Kedengaran seorang lelaki yang merupakan pensyarah bahasa Sepanyol di fakulti tersebut, Caning Alexis Jaramillo memberi arahan dalam bahasa asing sebelum kedua-dua pelajar berketurunan Melayu tersebut mula menukar rentak tari mereka.
Melihatkan kesungguhan mereka berlatih dan fasih berkomunikasi menggunakan bahasa Sepanyol, tidak hairanlah jika filem pendek yang dilakonkan oleh pelajar-pelajar itu dipilih untuk menjadi tayangan utama semasa Festival Filem Amerika Latin 2018, yang berlangsung di Sepanyol sekitar penghujung November lalu.
Lebih membanggakan apabila filem yang dihasilkan sepenuhnya oleh kumpulan pelajar dan pensyarah fakulti tersebut berjaya ditayangkan bersama-sama karya dihasilkan 10 buah filem daripada negara-negara penutur bahasa Sepanyol lain iaitu Mexico, Colombia, Argentina, Peru, Ecuador, Venezuela, Cuba, dan Uruguay.
Kejayaan pelajar fakulti tersebut mempertaruhkan filem pendek bertajuk Alegria yang membawa maksud kegembiraan itu secara tidak langsung berjaya membuka mata dunia mengenai kepentingan menguasai lebih daripada tiga bahasa dalam satu masa.
“Ini merupakan kali pertama sebuah filem berbahasa Sepanyol dari negara yang tidak menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi ditayangkan di festival tersebut.
“Festival ini merupakan program tahunan anjuran kedutaan-kedutaan Amerika Selatan di Malaysia dengan kerjasama Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd.
“Asalnya, pembikinan filem ini adalah untuk sebuah pertandingan iaitu Asean-Korean Youth Short Film Competition 2018 yang dianjurkan di Seoul, Korea Selatan. Bagaimanapun melihatkan potensi yang ada pada filem tersebut, ia kemudian dihantar untuk tayangan Festival Filem Amerika Latin 2018.
“Selepas kemenangan itu, filem pendek ini mampu pergi lebih jauh apabila mendahului filem-filem yang kini disenarai pendek dalam sebuah anugerah berprestij di Festival Filem Alicante, Sepanyol,” jelasnya.
Bahasa asing
Menceritakan lebih lanjut mengenai kejayaan tersebut, menurut pelakon utamanya yang juga merupakan pelajar tahun keempat Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Sepanyol, Mas Dayana Abd. Rahman, tayangan filem berdurasi lapan minit itu bertujuan untuk menonjolkan kepentingan menguasai bahasa asing dalam kalangan umum.
“Jalan cerita filem ini berkisarkan mengenai minat seorang anak untuk mempelajari bahasa asing. Bagaimanapun, hasrat tersebut mendapat tentangan hebat daripada ayahnya.
“Situasi bertukar sebaliknya selepas si anak berjaya mempelajari bahasa Sepanyol atas inisiatif sendiri dan telah berjaya membantu sepasang pelancong Sepanyol yang minat mengenali dan mendalami budaya masyarakat Melayu di negara ini.
“Filem ini diakhiri dengan si anak menerima tiket penerbangan ke Sepanyol yang dihadiahkan oleh pasangan pelancong tersebut,” jelasnya.
Menurut Mas Dayana lagi, mesej yang padat dan tersirat yang terdapat dalam Alegria berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa pendedahan terhadap bahasa asing membolehkan seseorang individu itu mampu pergi lebih jauh.
“Input yang ingin disampaikan menerusi filem pendek ini ialah tanggapan individu terhadap bahasa asing. Tidak dinafikan bahasa asing kurang mendapat tempat dalam kalangan umum kerana masih ramai yang kurang mempunyai kesedaran akan kepentingan menguasai kepelbagaian bahasa.
“Bagaimanapun jika seseorang individu mampu menguasai bahasa asing dengan lebih baik, ia memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan lagi pemahaman silang budaya. Ini kerana bahasa merupakan kaedah komunikasi yang membolehkan manusia menyampaikan budaya mereka,” jelasnya.
Menurut Mas Dayana lagi, dia bukan sekadar mempelajari sesebuah bahasa asing, namun secara tidak langsung membolehkan dirinya mendalami dan mengenal perbezaan dialek negara-negara tersebut.
Tambahan pula bahasa Sepanyol yang digunakan di seluruh negara Amerika Latin mempunyai struktur bahasa yang berbeza mengikut negara seperti Mexico dan Venezuela.
Tarian flamenco
Dalam pada itu, menurut seorang pelajar tahun dua, Muhammad Zaki Salim, 20, peluang melanjutkan pengajian dalam jurusan tersebut memupuk minatnya untuk mendalami adat serta keunikan masyarakat Sepanyol.
Disebabkan itu juga, Muhammad Zaki sanggup mempelajari tarian flamenco. Lebih-lebih lagi apabila Pertunjukan Flamenco diiktiraf sebagai Warisan Budaya Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tanggal 16 November 2010 di Nairobi, Kenya.
“Selain didedahkan dengan kepelbagaian bahasa, ia membolehkan kami mengenali tradisi dan adat sesebuah negara asing.
“Di sini, saya berpeluang melihat keunikan yang terdapat dalam tarian flamenco. Tarian ini meliputi gerakan kaki yang cepat, gerakan tangan yang gemalai, menepuk tangan, dan menjentikkan jari,” jelasnya mengenai tarian yang sinonim dengan gaun warna merah kembang bagi penari wanitanya.
Menurut Muhammad Zaki lagi, biarpun berhadapan dengan kesukaran untuk melakukan gerak tari tersebut, namun dia akui mampu membiasakan diri selepas beberapa sesi latihan.
Dalam pada itu, menurut pensyarah dan mantan penyelaras Program Bahasa Sepanyol yang kini merupakan Ketua Jabatan Bahasa-bahasa Asia dan Eropah, Dr. Rozita Che Omar, pihaknya melakukan pelbagai usaha untuk menarik minat generasi muda untuk menguasai bahasa Sepanyol.
Selain melibatkan pelajar universiti, usaha tersebut diperluaskan di peringkat sekolah dengan membawa masuk tayangan filem dan tarian kepada pelajar.
Lebih menarik apabila pihak kedutaan Sepanyol turut terlibat dengan menaja kos membawa masuk penari tersohor Sepanyol.
“Kita telah melakukan pelbagai usaha bagi menarik minat generasi muda pada hari ini untuk mendalami bahasa Sepanyol. Antaranya ialah menerusi tayangan filem seperti Alegria dan memperkenalkan asas gerak tari Sepanyol di beberapa buah sekolah sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Jelas Rozita lagi, pendedahan tersebut bukan sahaja untuk menarik pelajar mendalami bahasa Sepanyol, tetapi memberi pemahaman yang menyeluruh bahawa bahasa Sepanyol mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi untuk pasaran kerja.
Bahasa Sepanyol merupakan salah satu daripada lebih 6,500 bahasa yang banyak digunakan masyarakat dunia, selain bahasa Mandarin, Inggeris, Sepanyol, Perancis, Arab dan Hindi.
“Kita tidak mahu mereka menjadi seperti katak di bawah tempurung yang hanya tahu bahasa di negara sendiri. Kita mahu mereka menerokai peluang tersebut kerana Sepanyol mempunyai 21 buah negara yang bertutur bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi,” jelasnya.











