Profima rayu bantuan untuk insan belakang tabir - Utusan Malaysia

Profima rayu bantuan untuk insan belakang tabir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR untuk menterjemah rasa sedih dan susah yang ditanggung kru-kru produksi belakang tabir. Tanpa perlu dijelaskan, mereka adalah antara golongan yang terkesan dengan keadaan ekonomi lantaran pandemik Covid-19.

Jauh di sudut hati, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Kapten (K) Khir Moh. Noor runsing memikirkan cara terbaik untuk membantu mereka semua. Kebajikan mereka diutama. Kesusahan mereka sama dirasa.


Pengumuman peruntukan RM15 juta terhadap penggiat seni dan petugas produksi belakang tabir dalam Belanjawan 2021 seharusnya diterima dengan hati terbuka. Lega namun nafas seperti tersekat.

Peruntukan menerusi Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya atau Cendana untuk melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan dianggap satu berita baik. Namun, yang menjadi kerisauan Khir adalah pelaksanaannya kelak.

Bukan mahu meragui apatah lagi mencipta spekulasi, namun harapan Khir, Cendana mampu melaksanakan pelbagai program yang mampu menjaga kebajikan dan kelangsungan kerjaya demi sesuap nasi.

“Sebelum ini pun, kita pernah menerima dana melalui agensi berkaitan. Tetapi ditukarkan dana kepada pinjaman. Kerajaan perlu pantau. Jangan jadikan dana sebagai perniagaan.

“Saya sangat mengharapkan agar Cenda dapat melunaskan tanggungjawab dengan penuh amanah. Kebajikan penggiat seni dan petugas produksi belakang tabir perlu diberi keutamaan khususnya ketika zaman sekarang,” katanya.

Mendedahkan beberapa insiden duka petugas produksi belakang tabir, Khir menahan sebak. Katanya, hidup sebagai kru produksi tidak semewah dan seglamor mereka yang di hadapan.

Jelas Khir, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, Profima sudah menyalurkan beberapa bantuan sara hidup dan melaksana program Foodbank bagi membantu 20,000 ahli persatuan itu yang hidup dalam kesempitan.

“Mungkin mereka bukan artis popular. Hidup glamor. Tetapi ingat sumbangan mereka. Tanpa kru-kru produksi ini, tiada drama, filem atau program hiburan. Kudrat mereka merealisasikan semua itu.

“Ada beberapa ahli Profima datang berjumpa dan minta bantuan duit tambang. Mereka mahu balik kampung, kerja di sana sahaja. Malah, ada juga yang mengaku terpaksa duduk serumah dengan pasangan suami isteri lain kerana tidak mampu.

“Kita ada program Foodbank dan memberi wang saku RM50 tetapi sampai bila sahaja dapat bertahan. Tolonglah bantu mereka kerana 85 peratus daripada ahli bukan bekerja tetap. Hidup mereka susah,” luah Khir.

Bengkel, bantuan rumah untuk ahli
Selaku presiden, kebajikan ahli adalah keutamaan Khir. Bukan mahu meminta segunung emas, lautan berlian namun apa yang diharapkan adalah bantuan dari segi pelaksanaan program yang berteraskan ikhtiar hidup.

“Kita faham dengan keadaan ekonomi sekarang. Tetapi kita harus melaksana beberapa program yang dapat membantu mereka mencari ikhtiar hidup. Sebagai contoh bengkel pembelajaran dan latihan.

“Kalau tidak untuk skala besar, kecil pun jadi. 20 orang dalam satu sesi. Sedikit sebanyak, mereka ada sijil atau pengiktirafan yang boleh membantu mereka mencari kerja,” katanya.

Malah, dia mengharapkan agar pihak kerajaan juga dapat menyediakan bantuan perumahan sama seperti yang diberikan kepada golongan artis.

“Cara itu diharapkan agar mereka mampu menyediakan kediaman selesa untuk keluarga masing-masing.

“Kita ada 12,000 ahli yang aktif. 85 peratus tidak bekerja secara tetap. Lagi 75 peratus daripada itu tidak mempunyai kediaman tetap.

“Saya juga memohon mempertimbangkan bantuan perumahan.

“Kita tak minta di Kuala Lumpur pun. Buatlah di negeri lain, asalkan bantuan ada.

“Kalau setiap negeri memperuntukkan lima peratus projek perumahan bantuan untuk ahli pun sudah kami syukuri,” rayunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×