JERANTUT – Badan Permuafakatan Generasi Baharu Pahang (BPGBP) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) menutup akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ setelah menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Musta’in Billah.
Lembaga Penasihatnya, Datuk Wan Zamzuri Wan Hasenan berkata, tindakan biadab pemilik akaun Facebook terbabit mengundang kemarahan seluruh lapisan masyarakat sejak semalam.
“Kami menyeru Menterinya, Gobind Singh Deo segera bertindak kerana laman sosial itu masih aktif dengan terus mengeluarkan kenyataan menghina baginda.
“Mereka sengaja memuat naik gambar melampau dan secara tidak langsung ia turut menghina kedaulatan raja-raja Melayu,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis bersama 30 ahlinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pukul 3 petang tadi.
Menurutnya, tindakan pemilik akaun Facebook terbabit juga dilihat cuba menimbulkan kekeruhan disebalik hubungan baik antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, 20 ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut telah membuat laporan polis pukul 11 pagi tadi berhubung kejadian yang sama.
Ketua UMNO Bahagian, Datuk Nazri Ngah memberitahu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kepada pemilik akan Facebook berkenaan.
“Sampai bila kita harus membiarkan perkara ini terus berlaku kerana ia mampu mewujudkan propaganda untuk membenci institusi raja-raja Melayu,” jelasnya. – K! ONLINE











