TAHUKAH anda mengambil gambar kanak-kanak tanpa kebenaran adalah dilarang di beberapa negara Eropah walaupun untuk tujuan koleksi fotografi.
Ketika berkunjung ke Stockholm, Sweden beberapa tahun lalu, penulis pernah ditegur oleh seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia tujuh tahun kerana mengambil gambarnya serta rakan-rakan ketika mereka sedang bermain di sebuah taman permainan.
Dari situasi itu, jelas menunjukkan bahawa larangan mengambil gambar kanak-kanak tanpa kebenaran di negara itu adalah satu perkara serius sehinggakan kanak-kanak berusia tujuh tahun sedar mengenainya dan tidak teragak-agak untuk memberi amaran jika terdapat orang asing mengambil gambar mereka.
Larangan itu bukanlah dalam bentuk undang-undang, cuma kesedaran yang dipupuk dalam kalangan penduduk di sana yang tidak mahu gambar anak mereka disalah guna atau dieksploitasi.
Mengambil gambar tanpa kebenaran sahaja sudah salah, apatah lagi memuat naik gambar itu dalam media sosial atau mencuri gambar orang lain di internet.
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari PICOMS International University College, Hazhari Ismail berkata, melewati era peningkatan teknologi kini, telah wujud satu terma baharu iaitu ‘digital kidnapping’ atau penculikan digital berdasarkan situasi semasa yang berlaku di internet.
Jika sebelum ini kes penculikan membabitkan secara fizikal, tetapi kini wujud penculikan secara digital iaitu mengambil gambar tanpa kebenaran dan memuat naik dalam media sosial atau mengambil gambar sedia ada di internet tanpa kebenaran dan memuat naik kembali dalam media sosial.
Menurut Hazhari, kebanyakan kes individu ‘mencuri’ gambar dan memuat naik semula dalam media sosial adalah kerana mereka bermain ‘role play’.
“Mereka membayangkan gambar itu adalah anak mereka, mencipta akaun media sosial untuk ‘anak’ mereka. Ada yang kekalkan identiti sama, tetapi ada juga yang mencipta identiti baharu kepada kanak-kanak tersebut.
“Ada yang siap buat penafian kononnya kanak-kanak itu adalah anak angkat atau anak yatim sedangkan ibu bapa sebenar masih hidup. Kalau tidak percaya, cuba taip di carian #adoptionrp, #orphanrp dan #babyrp.
“Mereka ini akan mengikuti (follow) ibu bapa yang kerap muat naik gambar anak masing-masing. Ada satu kes di mana seorang individu telah mengikuti anak tersebut dari bayi sampai masuk sekolah dan mereka muat naik semula gambar anak tersebut sepanjang tumbesaran si kecil, ibarat anak mereka asendiri,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.
Dengan memuat naik gambar kanak-kanak di internet, ibu bapa atau guru secara tidak sedar sebenarnya telah mendedahkan maklumat peribadi kepada pengguna internet seperti alamat rumah, taska atau sekolah.
Ia sekali gus memberi input ‘berharga’ kepada si penculik untuk melihat sendiri ‘anak mereka’ di depan mata.
Perbuatan tersebut turut mengundang bahaya dan risiko lain yang berpotensi untuk berlaku.
Contohnya, berlakunya masalah buli apabila terdapat rakan-rakan di sekolah yang mengambil gambar seseorang kanak-kanak ketika kecil atau terkini dalam media sosial untuk tujuan mengejek sama ada secara verbal atau fizikal.
Hal demikian sudah tentu memberi kesan emosi kepada anak-anak apatah lagi seawal usia lima tahun lagi mereka sudah mula membangunkan perasaan tentang diri sendiri iaitu sudah pandai berasa malu atau tidak selesa.
Lebih menakutkan, keghairahan memuat naik gambar anak-anak secara tidak sedar sebenarnya turut menarik perhatian golongan pedofil atau mereka yang mempunyai fantasi seks yang aneh.
Menurut Hazhari, mungkin sukar bagi sesetengah ibu bapa untuk tidak berkongsi gambar anak dalam media sosial, namun mereka perlulah mengambil langkah berjaga-jaga.
Antaranya mengehadkan individu yang boleh mengakses gambar di media sosial. Di Facebook contohnya, ibu bapa boleh menetapkan siapa yang boleh dan tidak boleh melihat gambar yang dimuat naik.
Ibu bapa atau guru juga perlu mengelakkan daripada mengemas kini lokasi bagi sesuatu gambar yang dimuat naik kerana ia bukan sahaja berpotensi menyebabkan berlakunya penculikan digital, malah juga penculikan secara fizikal.
“Internet sekali dimuat naik, akan kekal terus di situ. Fikir banyak kali dahulu sebelum muat naik.
“Saya berharap sangat suatu hari nanti dapat diwujudkan sekatan berbentuk polisi atau akta untuk menghalang kejadian muat naik gambar kanak-kanak dalam media sosial tanpa kebenaran atau penculikan digital.
“Penculikan digital ini bukan benda baharu. Jangan ambil mudah perkara ini, kalau kita tidak kawal, mereka yang akan kawal kita,” ujarnya.











