KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan tiga individu termasuk dua anggota polis berpangkat sarjan dan lans koperal bagi membantu siasatan kes menerima suapan bernilai RM9,700.
Kedua-dua anggota polis yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 6.20 petang semalam.
Manakala seorang lelaki berusia 45 tahun tersebut pula ditahan pada pukul 10.45 malam semalam semasa mereka memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri di sini.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua anggota polis tersebut telah menerima wang suapan sebanyak RM9,700 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.
“SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
“Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek bermula semalam sehingga 15 April depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Tuan Ruzaini Tuan Lah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut. – K! ONLINE











