JAKARTA 9 April – Mahkamah Daerah Jakarta Utara menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda terhadap calon Parti Amanat Nasional (PAN), Nurhasanudin dan anggota pasukan kempen, Syaiful Bachri kerana menggunakan rumah ibadat sebagai tempat berpolitik.
Lapor Republika, Hakim Chrisfajar Sosiawan menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkempen di Mushala Qurotul Ain RT 09 RW 03, Sukapura, Cilincing, Utara Jakarta, di sini pada 9 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, Nurhasanudin dan Syaiful dilaporkan mengedarkan kalender mengandungi gambar pemimpin serta simbol parti kepada penganut rumah ibadat itu.
Hakim Chrisfajar Sosiawan memerintah kedua-dua tertuduh menjalani pemenjaraan tiga bulan dan denda 10 juta rupiah (RM2,900) selain diletakkan di bawah pemantauan selama enam bulan.
Bagaimanapun hakim menjelaskan setelah mengambil kira beberapa pertimbangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, beliau bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan supaya tidak ‘menyumbat’ tertuduh di dalam penjara sebaliknya hanya diletakkan di bawah pemantauan.
“Ini kerana pertama tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan, kedua tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan ketiga kedua-dua tertuduh masih muda dan mempunyai potensi yang besar untuk menjadi rakyat yang berguna kepada bangsa dan negara,” katanya. -AGENSI











