KUALA LUMPUR 9 April – Berkahwin dalam usia muda bukan satu masalah bagi Siti Suriani Wahiddin dan Muhd. Syafiq Irfan Azman, 19 kerana mereka sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab dalam melayari bahtera rumah tangga.
Bagi Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, walaupun berusia 19 tahun, beliau mengakui dirinya matang lebih awal dari usia.
“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia muda dan Syafiq juga sebaya dengan saya. Bezanya, dia lahir pada 31 Ogos dan saya pula dilahirkan sehari kemudian.
“Saya mengenali Syafiq kira-kira tiga tahun lalu dan kami sekampung. Tidak pula bercinta seperti pasangan yang lain kerana saya sibuk membantu abang, Khairul Nizam yang menjalankan perniagaannya tetapi inilah yang dikatakan jodoh,” kata Siti Suriani.

Katanya lagi, sebagai adik yang mempunyai seorang abang yang istimewa, beliau banyak berkorban demi keluarga dan membantu perniagaan yang dijalankan oleh abangnya itu.
“Ketika saya berusia 17 tahun dan sepatutnya saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perniagaan yang dijalankan oleh abang tidak begitu memberangsangkan dan pada ketika itulah, abang perlu pergi ke Tokyo, Jepun untuk menghadiri satu persidangan.
“Saya tahu bahawa abang saya itu tidak boleh bergerak sendirian disebabkan keadaan fizikalnya. Jadi, abang memerlukan saya dan sebagai seorang adik, kasih dan sayang terhadap abang kandung saya ini tidak pernah berbelah bahagi.

“Makanya saya mengambil keputusan ketika itu untuk berkorban dan mengikut abang ke Jepun sedangkan rakan-rakan sebaya pula menduduki peperiksaan SPM,” katanya sambil mengekang air mata mengenang kembali saat pengorbanan yang telah dilakukannya demi keluarga terutamanya buat abang yang amat dikasihinya itu.
Sambil memandang ke arah wajah adik perempuannya yang menjadi Raja Sehari, Khairul Nizam sebak dan menyambung, memang benar adik perempuannya itu banyak berkorban deminya dan keluarga.
“Kami perlu kuat dan bersatu untuk membantu keluarga dan memang benar, Apak adalah wartawan Utusan Online yang pernah menulis tentang saya dan produk minyak wangi yang kami keluarkan kira-kira empat tahun lalu.
“Hari ini, saya gembira dan berterima kasih kerana majlis persandingan Siti mendapat sokongan dari segi tajaan daripada vendor-vendor yang sama-sama terlibat dalam Jamumall. Terima kasih semua,” kata Nizam.
Berbalik kepada kenyataan Siti Jamumall, beliau selesa membantu usahawan dan vendor-vendor menerusi media sosial yang ditularkan di media sosial kerana itu adalah sebahagian daripada strategi pemasaran perniagaan.

“Asalkan perkara yang ditular itu membawa mesej yang baik dan membantu perniagaan, rasanya tidak menjadi satu kesalahan bagi kita menggunakan platform media sosial dengan sebaik mungkin,” katanya sambil menambah, lebih 1,000 vendor di luar sana sehingga kini yang diberi bantuan untuk mengembangkan rangkaian perniagaan.
Majlis persandingan Siti dan Syafiq diadakan di Laman Kayangan, Shah Alam, Selangor dan turut dihadiri artis dan selebriti tanah air seperti Ayu Damit (Ayu One In A Million) serta Instafamous, Bella (Susuk 1 juta) dan Beby Maembong, pengasas bengkung SlimDollz. – UTUSAN ONLINE











