PELABUHAN KLANG – Orang ramai berpeluang melawat kapal peronda luar pantai milik Indian Coast Guard (ICG), Vijit pada Hari Terbuka kapal itu pada 12 April ini di Jeti Boustead Star Cruise, Pulau Indah di sini.
Vijit berlabuh di jeti tersebut bermula hari ini hingga 13 April dalam lawatan muhibah kapal itu ke Malaysia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kehadiran kapal berusia 40 tahun itu merupakan satu penghormatan kepada agensi berkenaan.
“Pelbagai aktiviti dijadualkan berlangsung sepanjang kehadiran Vijit antaranya perkongsian kepakaran melibatkan kawalan pencemaran laut dan aspek mencari dan menyelamat di laut antara ICG dan APMM,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kapal berkenaan di sini pagi tadi.
Jelasnya, sifat mesra dan terbuka yang ditunjukkan ICG membuka peluang kepada orang awam khususnya para pelajar untuk mengenali lebih dekat fungsi, keupayaan serta kepentingan sesebuah agensi maritim dalam menjaga keselamatan perairan negara. – K! ONLINE











