HULU TERENGGGANU 9 April – Polis sedang memburu dua wanita dipercaya warga Indonesia kerana disyaki melarikan seutas rantai dianggarkan bernilai RM7,350 daripada sebuah kedai emas di Kuala Berang di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kejadian pada pukul 2.37 petang itu disedari pengadu yang merupakan pemilik kedai tersebut keesokan harinya selepas dia membuat pemeriksaan barang kemas di premisnya kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, pengadu mendapati seutas rantai seberat 42.28 gram hilang dan selepas membuat semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya petang semalam, terdapat imej dua wanita bertudung masuk ke premisnya.
“Semasa kejadian pengadu membantu dua pelanggan wanita itu memilih rantai yang dimahukan.
“Bagaimanapun, semasa proses tersebut berlangsung salah seorang daripada dua suspek bertindak mencuri seutas rantai yang disorokkan dengan tangan kiri lalu dimasukkan ke dalam beg tangan. Suspek sebelum itu meminta pengadu mengeluarkan dua lagi rantai seolah-olah mahu membeli barang kemas tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Adli, siasatan mendapati semasa hari kejadian, pengadu sedikit pun tidak menyedari kejadian tersebut
Katanya data rakaman CCTV yang diperiksa pada premis yang merupakan bangunan dua tingkat itu menunjukkan tarikh pada 6 April pukul 2.37 petang.
Mohd. Adli memberitahu, polis giat mengesan suspek dan hebahan imej melalui rakaman CCTV telah diedarkan kepada unit bantuan lain.
“Sebarang maklumat berkaitan suspek boleh hubungi PDRM Hulu Terengganu di talian 09-6811222 atau 09-6812419,” katanya. – UTUSAN ONLINE











