HIDUP menganyam pengalaman, mengutip pengajaran. Segala sesuatu yang berlaku pada persekitaran kehidupan sering menginsafkan seseorang tentang makna syukur, kesal, sabar dan iktibar.
Seseorang atau pihak yang hanya menelusuri perjalanan hidup tanpa pengurusan dan tujuan (go with the flow) pula kerap menemui jalan sukar dan berada pada tahap ‘ketinggalan’.
Dalam perkembangan politik tanah air, rakyat sudah mula mengungkap terima kasih pada suasana dan keadaan.
Melalui apa yang mereka lihat dan dengar saban hari banyak mempengaruhi penilaian mereka terhadap agenda sebenar yang mahu diterjemah sesetengah pihak sehingga adakala melangkaui prinsip-prinsip asas sebagai mana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Rakyat, semakin sedar adanya percubaan pihak-pihak tertentu mahu mengetepikan ‘roh’ kedaulatan Islam dan Melayu di negara ini. Suasana yang memaparkan segalanya.
Termasuk penularan konsep ‘liberalisme’ yang semakin mudah dan meluas. Serta mahu diterapkan konsep kebebasan sosial yang tidak terbatas.
Melalui suasana yang mewarnai kehidupan, rakyat semakin sedar dan memahami erti janji yang gagal ditepati. Kos sara hidup semakin tertekan. Tol masih perlu dibayar.
Kaedah membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih tiada perubahan. Sementara harga petrol terus tidak ‘terbendung’.
Suasana juga sering ‘melondehkan’ kelemahan tadbir urus negara. Ada dalam kalangan anggota Kabinet ‘bertelagah’ secara terbuka sesama sendiri. Menggambarkan sikap di antara mereka ‘tidak sekata’.
Bahan-bahan kenyataan yang disuarakan di hadapan media atau khalayak umum kurang ‘berisi’ (not much substance). Malah, adakala ‘mengelirukan’ sehingga Perdana Menteri sendiri terpaksa ‘menghuraikan’ semula.
Lihat misalnya dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Ada pihak dalam kerajaan dan perundangan negara seolah-olah sudah mengisytiharkan pengiktirafan UEC sehingga menimbul kontroversi umum.
Lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri terpaksa membuat penegasan, pengiktirafan UEC hanya boleh dilakukan oleh Kabinet dan sehingga sekarang, Kabinet belum membuat apa-apa keputusan berkenaan dengannya.
Tindakan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom menampilkan satu lagi ‘suasana’ yang kurang disenangi rakyat. Rakyat bukan keliru. Tetapi isu utama bagi mereka ialah tindakan itu dilihat seolah-olah ‘membelakangi’ Majlis Raja-Raja Melayu.
Dan ini bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Perkara 3 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.
Sementara itu ada pula kalangan anggota Kabinet yang kelihatannya bagaikan ‘lebih sudu dari kuah’. Individu-individu tertentu ini lebih cenderung bertindak ‘tahu segala’, sehingga bercakap di luar bidang atau kapasiti jawatan yang disandang.
Manakala sesetengahnya pula semacam ‘takut-takut’ untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga menimbulkan tanda tanya kepada umum sama ada menteri berkenaan tahu tentang tugas yang dipikul atau hanya menunggu pegawai yang membekalkan maklumat.
Itu pun belum termasuk isu ‘galakan meminum minyak sawit’, kisah ladang ternakan dengan tujuh ekor lembu, penetapan warna kasut dan stoking dan banyak lagi. Sementara perpaduan rakyat semakin longgar.
Kalangan anggota penjawat awam yang ditemui pula mendakwa, tiada matlamat pencapaian dasar dan program yang jelas dalam sektor awam.
Mereka, yang termasuk di peringkat kanan, menyatakan, apa yang dilaksanakan dalam tugas harian sekadar memenuhi rutin biasa. Berbeza dengan pendekatan tugas di bawah kerajaan sebelum ini, termasuk semasa di bawah pentadbiran Perdana Menteri keempat tidak lama dahulu.
Para peniaga mengeluh kerana kekurangan pelanggan. Kuasa beli dikatakan semakin merosot. Para kontraktor bumiputera mendakwa mereka semakin ‘kekurangan kerja’. Tidak banyak kerja ditawarkan. Kalau ada pun, peluangnya amat terhad.
Pendek kata, semakin banyak ‘suasana’ hadir dalam kehidupan harian rakyat yang memberi peluang kepada mereka menilai dan memahami hakikat keupayaan dan kecekapan sebenar tadbir urus negara, konsep berpolitik yang semata-mata mahu memikat sokongan rakyat serta skrip helah yang panjang berjela.
Maka rakyat pun berkata: “Terima kasih suasana, kerana menyedar dan mengajar kami makna kehidupan bernegara dan peluang memilih kerajaan pada setiap kali datangnya pilihan raya.”
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik.











