KUALA LUMPUR 8 April – Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan hari ini yang sentiasa mencatatkan pergerakan turun naik untuk ditutup tinggi disokong oleh minat belian di saat-saat akhir.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.54 mata kepada 1,644.35 berbanding 1,641.81 semasa ditutup pada Jumaat diterajui oleh Maxis, Axiata, PPB Group, IOI Corp., Dialog Group dan Maybank.
Indeks yang dibuka 1.86 mata lebih tinggi pada 1,643.67, bergerak antara setinggi 1,645.72 dan serendah 1,640.38 sepanjang hari.
Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 499 berbanding 386 manakala 383 kaunter kekal tidak berubah, 578 tidak didagangkan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.87 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Jumaat.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, saham minyak dan gas mendominasi kalangan saham cergas yang diniagakan di Bursa Malaysia.
Ini selari dengan peningkatan harga minyak mentah Brent yang melepasi AS$70 (RM286.92) setong.
“Perkembangan geopolitik di Libya, Venezuela dan Iran telah memberi sokongan kepada harga minyak mentah. Selain minyak, penggajian bagi syarikat barangan, pembinaan dan pembuatan menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) masih kukuh dengan 196,000 kerja baharu diwujudkan pada Mac lebih tinggi daripada 177,000 yang dianggarkan secara konsensus.
“Selain itu, perbincangan perdagangan AS-China adalah konstruktif. Jadi cakap-cakap baru-baru ini mengenai potensi kemelesetan di AS telah beransur-ansur padam,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, beliau melihat Brexit United Kingdom kekal perlu diberi perhatian ketika ia semakin hampir kepada tarikh akhirnya pada 12 April ini.
Selain itu, pasaran turut memantau Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang dikeluarkan pada Rabu.
“Konsensus menyasarkan kenaikan 1.8 peratus pada Mac daripada kenaikan 1.5 peratus pada Februari.
“Jadi teras inflasi mungkin akan meningkat secara perlahan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Afzanizam berkata, paras rintangan sedia ada pada 1,653 dilihat kurang meyakinkan berdasarkan keadaan pasaran yang tidak menentu. – BERNAMA











