REMBAU 8 April – Persiapan bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, esok berjalan lancar.
Tinjauan Utusan Malaysia di pusat pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan mendapati para petugas SPR sedang membuat persiapan akhir sebelum pusat pengundian itu dibuka pada pukul 8 pagi esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan hari ini memberitahu, seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 orang pengundi awal PRK Rantau akan menjalankan tanggungjawab mereka esok.
“Mereka merupakan 74 orang anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 orang anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.
“Baki seramai lapan orang pengundi yang terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos. Kedua-dua pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 dan ditutup pada pukul 12 tengah hari,” katanya.
Sementara itu, menurut Azhar Azizan, proses pengundian awal esok juga akan disaksikan oleh setiap ejen-ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah dilantik oleh SPR.
“Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian pada 13 April ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











