200 lagi Rohingya berada di perairan Thailand - Utusan Malaysia

200 lagi Rohingya berada di perairan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 8 April – Polis memaklumkan terdapat lebih 200 orang pelarian Rohingya yang masih berada di tengah perairan Thailand dan tidak menolak kemungkinan mereka juga dalam perjalanan memasuki negara ini.

Noor Mushar Mohd.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. ketika mendedahkan perkara itu berkata, maklumat tersebut diperolehi hasil soal siasat dan temu bual bersama salah seorang pelarian Rohingya yang ditahan selepas mendarat bersama 40 yang lain di pesisiran pantai berdekatan Kampung Belati, Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil maklumat awal, terdapat enam orang pelarian dalam kumpulan tersebut yang masih gagal dikesan.

“Hasil temu bual dengan salah seorang pelarian mengatakan mereka datang dari perairan Thailand dengan menaiki bot besar. Selepas itu, seramai 47 orang telah menaiki sebuah bot yang lebih kecil dibawa oleh seorang tekong Thailand dengan bayaran sebanyak RM4,000 sekepala.

“Kesemua yang dibawa itu dihantar ke perairan Sungai Baru, Simpang Empat kira-kira pukul 5.30 pagi,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, seramai 41 pelarian Rohingya yang dalam keadaan keletihan, lesu serta kelaparan sekali lagi dibantu penduduk kampung setelah ditinggalkan tekong di pesisiran pantai berdekatan Kampung Belati, Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini.

Kawasan tersebut tidak jauh daripada lokasi seramai 34 pelarian Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak ditinggalkan dalam kejadian serupa pada 1 Mac lalu.

Tambah Noor Mushar lagi, dalam kejadian terbaharu itu, pelarian terbabit berjalan di dalam lumpur kira-kira satu kilometer dengan anggaran masa satu jam untuk sampai ke darat selepas ditinggalkan tekong berkenaan.

“Memandangkan tiada tekong dari Malaysia, mereka telah berpecah masuk ke kawasan kampung berdekatan. Masih terdapat lebih kurang 200 orang lagi yang masih berada di tengah laut di perairan Thailand,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini