Bayi lelaki maut selepas diberi makan epal lenyek - Utusan Malaysia

Bayi lelaki maut selepas diberi makan epal lenyek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING – Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut selepas diberi makan epal lenyek di sebuah taska di Kupang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Fawwaz Mohd. Fadlan dikatakan menangis dengan kuat ketika sedang diberi makan makanan tersebut sebelum tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan ke ruang dapur taska.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa yang sedang diberi makan epal lenyek oleh pengasuh tiba-tiba menangis dengan kuat kerana dikatakan mahu mengikut penyelia pengasuh taska.

“Bayi itu kemudian tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kupang yang mana pada masa itu mangsa masih bernyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa kemudian diminta supaya dirujuk ke Hospital Baling, bagaimanapun bayi itu disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan luka atau lebam akibat perbuatan jenayah,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini