PUTRAJAYA 8 April – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian hari difahamkan telah memasuki perkarangan bangunan Perdana Putra, di sini untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan berhubung kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.
Menurut sumber, Osman memasuki bangunan pada pukul 3 petang dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman mengesahkan Osman akan ke ibu negara hari ini, namun menolak khabar angin bahawa kedudukannya itu akan digantikan.
Abdul Hakim dilaporkan berkata, Osman dijadual menghadiri mesyuarat bersempena pemukiman pemimpin-pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9 pada Selasa susulan adanya pertanyaan daripada pengamal media berhubung pergerakan Menteri Besar Johor.
Dilaporkan kiriman WhatsApp yang tular menyatakan, pada masa yang sama Osman akan bertemu Perdana Menteri susulan desas-desus kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor akan ditukarkan. – UTUSAN ONLINE











