SHAH ALAM – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia membantu dalam menstabilkan harganya yang tidak menentu kini.
Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai keadaan harga telur yang kritikal atau melambung begitu tinggi.
Katanya, harga telur pada masa kini dianggap fenomena biasa terutama ketika memasuki fasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Itu adalah satu pusingan (harga) yang perlu diterima kerana setiap tahun begitu dan kita melihat pasaran (harga) adalah terkawal.
“Sekiranya ada keperluan FAMA memasuki pasaran bagi menstabilkan harga telur, kita akan masuk,” katanya pada sidang akhbar selepas program seminar galakan pasaran tempatan dan antarabangsa agropreneur negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas peranan yang boleh dimainkan FAMA dalam menstabilkan harga telur yang tidak menentu sejak Disember lalu sehingga mencecah 40 sen sebiji mengikut gred.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, ketika ini harga telur bagi sebiji yang dijual di pasar tani adalah sekitar 36 sen.
“Pengusaha telur ayam berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari segi pengeluaran dengan FAMA menyediakan ruang pasaran kepada pengusaha kita.
“Kita akan memperbanyakkan outlet kita di pasar tani yang ada dengan membawa terus telur-telur ini daripada kilang dan ladang untuk dijual dengan tawaran harga lebih baik daripada pasaran lain,” katanya. – K! ONLINE











