PUTRAJAYA 8 April – Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan turut merangkumi kawalan ke atas rokok elektronik dan vape.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini kawalan dibuat secara berasingan membabitkan dua kementerian.
Beliau berkata, lesen penjualan rokok berkenaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, manakala kandungan di bawah kementeriannya.
“Sekiranya kandungan rokok itu mengandungi narkotin ia tertakluk di bawah Akta Racun 1952.
“Rang-rang undang-undang itu masih diperingkat kajian dan kita berharap dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar merasmikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2019 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, pihak kementerian komited dalam mewujudkan persekitaran yang sihat di tempat awam.
Dalam pada itu mengenai cukai gula, beliau memberitahu, pihak kementerian belum bercadang untuk mengenakan cukai berkenaan ke atas minuman bergula yang dijual di restoran dan kedai makan.
“Kita bagaimanapun akan memperincikan perkara tersebut, pada masa yang sama menasihatkan orang ramai mengurangkan pengambilan minuman bergula,” katanya.
Kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 40 sen selitir untuk minuman bergula selain jus buah-buah dan sayur-sayuran bermula 1 Julai ini. – UTUSAN ONLINE











